January 10, 2010

Vespa Kenangan - Kasih Ibu Sampai Syurga 1

Selami kisahnya...

Vespa Kenangan - Kasih ibu sampai Syurga

"Ibu, Amin dah beli tepung dan gula yang ibu suruh Amin beli balik dari sekolah tadi. Ada Amin letakkan di dapur." Lembut Amin menuturkan bicara kepada Ibunya tersayang. Lalu seperti biasa dia melangkah menuju ke pinggir tangga, duduk di situ memikirkan...

"Ya nak... Terima kasih. Biarkanlah dulu. Ibu tengah siapkan jahitan yang Cik Kiah kirim ni." Sambil tangan dan kakinya sibuk bekerja di mesin jahit singer itu, Mak Jah menjawab.

Amin. Seorang anak yang taat. Kasihnya kepada ibu tidak pernah kurang walau senipis helaian rambut. Selepas pemergian ayahnya dua tahun lalu, Pak Latiff, ibunya sahajalah tempat Amin bergantung, tempat Amin bermanja, tempat Amin bergurau senda. Tiada kawan dan adik beradik lain seperti orang lain yang boleh Amin ajak main bilamana petang-petang di kawasan rumah kampung dekat dengan bendang itu. Kalau dulu, waktu arwah ayahnya masih ada, Amin sangat rapat dengannya. Bersiar-siar keliling kampung dengan dibonceng Pak Latiff, motor Vespa hijau tinggalan atuk itu sungguh comel sekali masa itu. Sekarang sudah usang jadinya, tak ada siapa yang nak jaga. Ramai juga orang kampung yang lalu lalang bertanya mengenai Vespa itu. Ada yang sanggup beli sampai harga beribu ringgit. Yalah, semua tahu enjin motor itu kuat dan tahan lama, boleh dijadikan enjin pada gerabak angkut sawit, tanah, pendek kata memang bagus. Ada juga yang mahu menjadikan koleksi barang antik, dan ada yang saja-saja ingin masuk kelab Vespa di pekan sana. Tapi, setiap kali ada orang yang datang melamar Vespa itu, Aminlah yang menjadi penentang nombor satu. Macam-macam alasan dan hujah diberi Amin kepada ibunya supaya tidak menjual motor itu. Akhirnya, sampai sekarang duduk saja Vespa itu di tempatnya, tempat kali terakhir ia diletakkan oleh orang kampung selepas dihantar pulang. Amin rasakan kenangannya pada Vespa itu sangat bernilai, walaupun sudah nampak agak usang kini, Amin tetap sayang, Amin sapu badannya tiap-tiap petang sewaktu pulang dari sekolah bila hendak naik tangga rumah. Cuma dia tak tahu membawanya saja.


"Amin teringin nak bawa motor tu la bu, boleh tak?" Rengek Amin kepada ibunya sambil merenung ke arah Vespa yang tersadai di bawah rumah, tepi tangga rumah kampung itu.

"Amin pandai ke nak bawa? Motor tu kan berat. Badan Amin tu kecik je. Silap-silap motor tu ke parit, Amin ke hospital. Amin tak sayang ibu lagi ke. Nak tengok ibu duduk kat hospital tu siang malam jaga Amin? Nak bayar duit biaya hospital tu pun ibu tak mampu." Sudah acap kali Amin suarakan hasrat ini kepada Mak Jah, namun jawapan ini jugalah yang Amin dapat.

Sengaja Mak Jah jawab begitu sebab dia amat sayang akan Amin, satu-satunya anak yang dia rasakan sangat baik untuknya. Syukur. Dia rasakan amat beruntung ada anak macam Amin, tak macam anak remaja orang lain yang degil, liar, saban hari buat onar dan memeningkan kepala. Amin lain. Memang berbeza dengan remaja seusianya, walaupun baru tingkatan tiga, tingkahnya matang dan tak pernah buat hati kecil Mak Jah terluka. Dia juga tak mahu kerana Vespa itu Amin menjadi seperti ayahnya.

Kenangan lalu peristiwa yang meragut nyawa Pak Latiff tidak pernah kering dari memori Mak Jah, apatah lagi untuk terus diluputkan begitu sahaja memori itu. Kerna Vespa itulah Pak Latiff terbaring tak bernyawa, bukan kerana kemalangan atau terjatuh dari motor, tetapi kerana orang yang iri hati terhadap Pak Latiff. Pak Latiff masa itu bergelar jaguh Vespa Pekan Kampung Seri Menanti. Siapa yang tak kenal dengan Pak Latiff, sudah bertahun memegang gelaran juara pertandingan Vespa Klasik Nusantara yang menjadi gilaan pemuja-pemuja motosikal klasik itu seluruh Malaysia. Sehinggakan ada manusia yang gelap hatinya, dengki sanggup membunuh Pak Latiff di suatu malam tika Pak Latiff pulang dari surau seusai mengerjakan solat terawikh berjemaah. Pak Latiff ditemui mati tertikam dek buluh runcing, malah Vespanya juga turut menjadi mangsa dicampakkan ke hujung tebing parit. Dan keesokan harinya, barulah ada orang kampung menemui mayat Pak Latiff, sungguh ngilu, pilu, dan sedih bila terkenang arwah yang pergi dalam keadaan yang sebegitu, terbiar semalaman di tepi jalan yang sejuk gelap gelita. Mak Jah tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya kerana faham Pak Latiff akan selalu berada di surau itu untuk berqiamullail, lebih-lebih lagi waktu itu sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

Sampai sekarang tiada siapa tahu dalang di sebalik peristiwa itu dan akhirnya kes sudahpun ditutup oleh pihak berkuasa. Ada juga mulut gatal orang kampung yang mengatakan, Pak Latiff sudah tidak waras menikam dirinya sendiri, tak kurang juga yang berkata Pak Latiff terkena buatan orang melalui ilmu hitam, dan macam-macam lagi. Namun Mak Jah dan Amin percaya bahawa itu sudah ketentuan yang Maha Esa. Sudah tiba masa Pak Latiff pergi dan jika itu cara dia diambil oleh Tuhan, Mak Jah redha. Tidak putus doa Mak Jah dan Amin untuk arwah, disamping berdoa agar orang yang berbuat jahat terhadap arwah diberi hidayah dan mendapat balasan yang setimpalnya, bukan di dunia, di akhirat sana pasti tidak terlepas.

Kini, Mak Jah dapat merasakan yang Amin mahu mengikut jejak ayahnya menjadi juara dan dengan niat ingin menuntut bela kematian ayahnya itu. Namun, naluri keibuannya cepat-cepat menangkap hasrat Amin itu dan cuba sedaya untuk mengekang.


AYAH
WALAU KAU PERGI TERLEBIH DULU
KETAHUILAH
KASIH ANAKMU TAK PERNAH PUTUS KUNJUNG
DALAM DOA KU UKIR RASA RINDU
DALAM MIMPI KITA BERTEMU
KAULAH WIRA, KAULAH INSPIRASI...

BONDA
DI TELAPAK KAKI MU SYURGA MEMBENTANG
DALAM DOAMU TERKABULLAH KASIH SAYANG
DALAM KATAMU ADA HIKMAH
DAN SENYUM MU TIDAK MENGENAL SENJA
ENGKAULAH PELITA DIKALA JIWA GELAP GELITA...

JANJI ANAKMU
TAKKAN MELUPAKAN
WALAU HINGGA AKHIR NANTI.


"Kenapa orang tu sanggup bunuh ayah Amin ya bu? Ayah Amin tu baik, solat tak tinggal, dan kalau dia jadi juara sekalipun, apa salahnya kan, ayah memang berhak dapat gelaran tu, vespa ayah Amin tu istimewa, tak macam orang lain punya." Luahan Amin kepada ibunya yang sedang tekun menyiapkan tempahan jahitannya itu, seolah-olah berkata sendiri namun sengaja dikuatkan suara. Dari tadi dia hanya duduk saja ditangga dengan baju sekolahnya tidak lagi berbuka. Itu sudah menjadi rutin harian Amin bila balik dari sekolah, paling kurang sepuluh ke tiga puluh minit pasti Amin duduk di situ memikirkan dan mengenangkan akan peristiwa yang menimpa ayahnya dua tahun lalu.

"Amin... ALLAH itu Maha Mengetahui dan Penyayang. Tidak DIA merancang dan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa ada sebab dan manfaatnya. Kita sebagai hambanya perlu terima segala takdir yang telah tersurat. Redha dan berdoa agar ayah Amin selamat di sana. Ingat pesan ibu, doa anak yang soleh itulah yang menjadi cahaya penerang untuk ayah Amin di alam sana, dan moga dia ditempatkan dalam golongan yang mendapat syurga Allah." Nasihat Mak Jah kepada anak kesayangannya itu. Dia jikalau boleh tidak mahu Amin terus berfikir yang bukan-bukan, apatah lagi jika ada niat di hati anaknya itu untuk membalas dendam.

Senyap.

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua (ibu bapa) dengan penuh kesayangan serta ucapkanlah, "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil."
[Surah Al-Israa': Ayat 24]

Mak Jah ingin menyambung kata-katanya tapi bila terlihat Amin yang hanya tunduk duduk terdiam, dia mematikan suis mesin jahit itu dan bingkas bangun menuju ke arah Amin. Menangiskah dia? Bisik hati kecil Mak Jah. Tak pernah Amin macam ni. Selalu dia tidak bertanya banyak, hanya kadang-kadang seperti bercakap sendiri dan tersenyum, mungkin mengenangkan peristiwa indah-indah bila dia dengan ayahnya. Pak Latiff pun memang manja dengan Amin sejak Amin lahir sehinggakan kadang-kadang Mak Jah merasakan yang suaminya itu lebih memahami Amin. Tapi itu dulu.

"Amin nak jadi anak yang soleh tak? Amin nak jumpa dengan ayah Amin lagi ye? InsyaAllah kalau Amin jadi anak dan insan yang soleh, Amin masih boleh jumpa dengan ayah, di syurga... Amin sedih. Nak menangis? Sini peluk ibu. Menangislah kuat-kuat tak apa. Tak ada orang tahu, inikan ibu Amin." Seperti memahami hati anaknya, si ibu membisikkan. Luhur dari dalam hati seorang ibu yang amat faham tentang anak bujangnya itu. Ya. Amin sudah besar, dan sudah lama Amin tak menangis. Lantas dipeluk Amin erat-erat. Amin tak menjawab soalan ibunya, Amin terus dan terus menangis seperti anak kecil di pangku ibu. Teresak-esak.

"Anak ibu ni masih kecik lagi rupanya, nak ibu datang peluk, pujuk-pujuk macam dulu ye bila menangis. Takpe. Dulu masa Amin kecik lagi la Amin kuat nangis tau." Sebak di hati Mak Jah melihat anaknya itu menangis kerana mengingatkan ayahnya, namun si ibu bijak menyembunyikan rasa sayu dan sedih itu. Dia perlu lebih kuat untuk melihat anaknya kuat. Dia tidak mahu melihat anaknya menjadi lemah kerana peristiwa itu, itukan qada' dan qadar Allah.

Dalam esak tangis dipangkuan ibunya Amin menuturkan, "Orang lain di sekolah semua cakap macam-macam pasal ayah Amin.. Amin sedih. Ayah Amin baik. Amin nak naik Vespa tu dengan ayah... Amin nak pergi jalan sampai hujung kampung sana dengan ayah, tengok bendang, main layang-layang... Amin nak teman ayah pergi bengkel Pak Ramlee hias-hias Vespa tu... Amin nak..." Kata-kata Amin terhenti bila Mak Jah menangkup mulut amin dengan tangannya, butir air mata si ibu yang tadi disorokkan kini terlerai juga akhirnya, tak sanggup dia mendengar lagi Amin menyambung bicara.

Pandangan mata ibu dan anak bertentang, dalam kesayuan si ibu menjawab, "Amin satu-satunya anak ibu. Amin masih beruntung ada ibu di sisi yang jaga Amin. Ada orang lain yang macam Amin sudah tiada ibu dan ayah... Sekurang-kurangnya Amin masih ada ibu kan? Amin kata dulu nak jaga ibu bila ibu dah tua. Nak belajar pandai-pandai, nak merasa duduk luar negara... Kalau Amin asyik sedih macam ni, macam mana Amin nak jaga ibu nanti. Amin kena lebih kuat, lebih kuat dari ibu! Ibu lagi sedih sebenarnya, ibu hilang orang yang ibu sayang, suami ibu. Tempat ibu bergantung lebih sepuluh tahun lamanya. Ayah Amin pergi tak tinggalkan apa-apa pun untuk kita. Tapi ada Amin nampak ibu sedih-sedih?" Senyap. Hanya suara unggas dan deruman enjin motor yang terdengar dari kejauhan. Mereka berpelukan.

Kata-kata si ibu akhirnya pecah berteman esak tangis si anak,

"Ibu sayang Amin. Kasih sayang ibu sampai ke Syurga..."

"Amin pun sayang ibu.. sayang sangat... sangat."


Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak keturunanku orang-orang yang mendirikan solat, Wahai Pemelihara kami, terimalah doa permohonanku.
Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan ibu bapaku, serta sekalian orang mukmin, pada hari apabila perhitungan didirikan (hari kiamat)."
[Surah Ibrahim: Ayat 40-41]


********************************************

p/s: BUKAN kisah sebenar-benarnya.

Hanya sebuah nukilan khas buatnya... bonda tercinta, Hjh Zaharah~
Al-FATIHAH untuk arwah ayah, Hj Suparlan, Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam golongan orang-orang yang soleh. InsyaAllah. Ameen.

Jazakumullahu khairan kathira. Wassalam.

MHSS -.-
Q ST, Lincoln NE, USA.
Dikeheningan subuh Ahad, January 10, 2010


Sambungan: Nasi Lemak, Kuih - KISS

15 comments:

Asyila said...

menarik cerita ni!

hmm, walau jauh mana pun mereka, sayangi mereka seadanya :)

Kita yang masih hidup,doakan dia di sana ya. Dia memerlukan doa anak soleh seperti kamu

Moga ditempatkan di tempat yanng tinggi di sisi Allah.Amin

[o0o,pagi2 tadi,tulis cerita ni rupanya >.< ]

MHSS said...

cik asyila..
terima kasih memberi komen.

insyaAllah..Ameen..mmg itu yg diharap dan didoakan.

thnks again ;)

[hehee..pagi2 macam tu la banyak idea datang mencurah2]

IwaN ReaZ said...

wpun Iwan penulis novel, tiada mampu utk memberi byk komen kerna diri ini pun byk kurgnya.

cuma..

ayat penceritaan bg sedap sket. cerita dah best, penceritaannya bg up sket. contoh:

Amin sapu badannya tiap-tiap petang pulang dari sekolah bila hendak naik tangga rumah.

org paham maksudnya, cuma penyampaiannya bole di upkan lg.

~bukan mencari kesalahan, tetapi terjumpa kesalahan. ~

MHSS said...

Iwan, Ahlan ya sadiqi~

Terima kasih sudi menurunkan komen di cerita hamba di blog yang serba kurang ini.
Oh ya..itulah. memang kurang sikit pendedahan terhadap cara penceritaan.

InsyaAllah akan cuba memperelok. (bg up skit tuh -.-)
Sebabnya cerita digarap mengikut rentak jemari menari ligat tanpa sempat akal tangkap mentafsir maksud.

~kekadang kesalahan itu perlu dicari untuk mendapatkan hasil yang sempurna di lain masa~

Nadiah Sidek said...

syafiq buat sendiri ke cerpen ni? tak sangka pandai mengarang.. :)

syamimi rosli said...

=)

MHSS said...

Kak Nadiah:

hehe...iyee. buat sendiri. tulis sndri. ilham terus dtg dr hati bersumber inspirasikan ibu... ;)

p/s: syafiq pn tak sangka bleh tulis karangan pnjng mcm ni, dlu spm tulis pendek2 jek..hee

MHSS said...

Kak Mimi:

Senyum je ke... hehe
thanks bg smngat~ =)

Cekgu Isk said...

salam...tak sangka anak didik saya ni boleh menukilkan sesuatu yang indah.... saya baca langkau langkau kerana kontrol macho... memori bersama ayahanda tidak seindah memori hafiz bersama ayahanda.. kekadang bila terimbau menitis airmata walaupun sudah lewat usia begini....semoga roh ayahanda dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa, Aminnn.

MHSS said...

Waalaikum salam.. wahh..ckgu baca jugak..he. Tak aci la main langkau2 ckgu.. cntrol mcho? oo tau..takot nangis ek.. hehee. ;)

hmm..btul tu ckgu..insyaAllah. kita doakn mreka skrg, nnti ank2 ckgu akn doakn ckgu plak. ank2 sy pun buat benda yg same...insyaAllah..hee~ -.-
Ameenn..

Terima kasih datang jenguk, cikgu.. =)

NURUL IZZA said...

waa..hebat! congratssss.kakiza buat cerpen ke..mesti xjd..

MHSS said...

macihh..hehe.
alaa,,tak jadi cerpen,jd prosa tradisional ke,,jurnal ke..ok gak pe.. :)
ohh,,tp akak terer masak,masak ape pun msti jadik..huhu

Adilahdarmawi said...

ini die penulis muda kite. menyorok di sebalik blog rupenye...hahah.
nice one though. =)

MHSS said...

haha..boleh dikategorikan muda lagi ek..he.
alahh,,cik adilah apa kurangnya.. lagi dah otai menulis.. ini baru je nk menceburkan diri ni..hu
btw, thanks for the compliment =)

roha said...

Salam.
Menarik cerpen ni. Ada bakat adik yea.
Semoga bakat yang Allah swt kurniakan ini berterusan dimanfaatkan.
Semoga diberkati Allah swt n ceria selalu disamping bonda tercinta.

Wassalam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails