December 3, 2010

3 Disember 2010

Alhamdulillahi wakafa.
Subuh jumaat yg penuh indah buat sekian kalinya dapat dirasa. Kenikmatan dan ketenangan tatkala alam menginjak dari malam ke siang, tatkala si bulan mula suram dibalik lindungan awan alam kelam, tatkala fajar hening menyongsong tiba, sesuatu yg sejak azali telah dijanjikan Allah, tidak pernah lari dari aturannya melainkan hanya dgn kehendak-Nya. Kerana itulah yg telah termaktub.
Subuh indah akan kembali lagi, berharap ianya akan terus singgah bersama ketenangan itu. Sepi. Namun itulah titik permulaan bagi setiap hari yg diimpi. Hari yg diharap menjadi suatu yg lebih baik dari semalam. Rindu. Sungguh diri ini merindukan perasaan itu.

“Hidup itu amanah, Nikmat itu anugerah”
Marilah menjalani hidup ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersyukur dengan segala apa yang kita punya. InsyaAllah -.-


-MHSS-

July 11, 2010

Ikan dipancing, Air ditadah, Nasi dipinggan

Jika kamu memancing ikan..
Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu.
Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu saja.
Kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang.
Setelah ia mulai menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya.
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja.
Kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu.

Jika kamu menadah air biarlah menadah secukupnya.
Jangan terlalu mengharapnya sampai penuh dan janganlah menganggap ia begitu teguh.
Cukuplah sekadar keperluanmu.
Apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula.
Akhirnya dibuang begitu saja.
Sedangkan jika kamu pakai secukupnya mungkin kamu dapat memakai selamanya.

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, terimalah seadanya.
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa.
Anggaplah dia manusia biasa.
Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya,
akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya.
Sedangkan jika kamu menganggapnya manusia biasa, kamu akan mudah memaafkannya mungkin kamu akan memilikinya sampai selamanya.

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu.
Mengenyangkan lagi berkhasiat,
Mengapa kamu berlengah dan mencari makanan yang lain.
Terlalu ingin mengejar kelazatan?
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya.
Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu.
Menyayangimu..
Mengasihimu..
Mengapa kamu berlengah dan membandingkannya dengan yang lain.
Terlalu mengejar kesempurnaan?
Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain.
Kamu juga yang akan menyesal.


Nota kaki: Petikan di atas bukan MHSS yang tulis. Sekadar berkongsi bahan bacaan. -.-

Adakalanya perbandingan itu perlu dalam memahami sesuatu yang abstrak, lebih2 lagi dalam hal yg melibatkan perasaan... (lain macam je bunyinye..he)
Bukan berbicara tentang cinta, tetapi menghargai dgn segala apa yang telah kita miliki itulah tanda kasih sebenar.

Sabda Rasulullah SAW:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai dan mengasihi diantara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu organ tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh yang lain turut merasakan sakit dengan tidak bisa tidur dan demam ”
(H.R Muslim - Muntafaq ‘alaih).

July 6, 2010

Summer

Musim panas itu menyeronokkan..
Hujan itu menyegarkan..
Angin itu menguatkan..
Salji itu menggembirakan..
Yang dikatakan cuaca buruk itu sebenarnya tiada.
Yang ada hanya jenis-jenis cuaca baik yang berbeza sahaja.
Daripada sesuatu yang buruk itu,
Sentiasa lahir sesuatu yang baik.
Kenal erti kata syukur.
Alhamdulillah -.-


Mood: Entah..
Sedang berada di minggu akhir 1st 5 week Summer session.
Semoga segalanya baik, insyaAllah.

May 13, 2010

Zahrah

Zahrah (زهرة) maksudnya bunga. Dalam banyak2 bunga yang ada atas muka bumi ini, ada satu 'bunga' yang sangat istimewa. Bunga ini bukan saja istimewa, bahkan amat penting dalam kehidupan sebatang pokok ini. Walaupun pokok ini sudah ketiadaan akar, namun bunga ini masih mekar dengan aromanya. Sepanjang hayatnya, bunga ini telah banyak menabur bakti dengan curahan kasih sayang terhadap tunas dan ulat yang ada di pokok itu. Bunga ini punyai sifat ketabahan yang tiada pada bunga-bunga lain. Sedang bunga-bunga lain gugur mengikut rentak alam, ia tetap kuat memaut dahan. Tidak sekali bunga ini goyah dan membiarkan dirinya gugur jatuh ke tanah.

Hari demi hari, tunas yang dulunya kecil kini sudahpun meningkat dewasa menjadi bunga baru. Ulat itupun sudah bertukar menjadi rerama. Bunga baru (tunas) dan rerama berjanji akan menjaga dan melindungi bunga sepertimana bunga menjaga mereka. Sudah menjadi lumrah, rerama terbang meninggalkan bunga dan pokok itu, namun ia akan kembali suatu hari nanti dengan kepulangan yang menggembirakan, insyaAllah. Namun, bunga ini tidak lagi keseorangan dalam menempuh hidup di pokok yang kehilangan akar itu. Berharap segalanya akan terus baik dan sempurna dengan hadirnya akar baru. Walau akar ini tidaklah sama dan tidak dapat menggantikan akan kehilangan akar yang dulu, namun akar ini telah memberi sebuah sinar harapan yang baru dan melengkapkan pokok itu semula. Tunas2 kecil dapat hidup dengan sempurna dan ceria oleh kehadirannya. Bunga ini semakin berseri dan bertambah harum dalam meniti usia tua nya. Syukur, Bi'iznillah.

Khas buat 'bunga' ini, Hjh Zaharah, sebuah lagu.. dan bunga2 ini semua untuknya... :)




p/s: Dah terlambat ke nak post untuk Hari Ibu? hehe..Boleh je kut.. Sebab hari-hari Hari Ibu -.-

Video hiasan... Sepi Perantau~ :)
"Perjuangan ini, demi mencari keredhaan Ilahi..."

video

April 25, 2010

Panoramic Photo

Rindu datang lagi.. Rindu untuk menggodek-godek Photoshop CS3 -.-

~Panoramic Photo~
Kepingan gambar2 yang diadun dan digabung sehingga sebati menghasilkan satu gambar panorama. Kebiasaannya panoramic photo ini untuk menonjolkan pemandangan dari sudut ~160 darjah. Ataupun boleh juga kata seluas mata kita memandang.

Dengan menggunakan Adobe Photoshop, amat mudah untuk menghasilkan panoramic photo ni.
Saya cuba gambar2 ini. Selak-selak folder gambar, terjumpalah gambar2 yg agak sesuai untuk digabungkan. Di satu tempat yang sama, tetapi 4 gambar yang diambil dari sudut yang berbeza. Gambar2 ini saya tangkap masa pertengahan bulan lepas, bunga2 pun belum keluar lagi, dan tiada niat untuk buat panoramic photo, jadi sudut yang diambil taklah terlalu tepat. Mungkin lepas ni nak cuba tangkap gambar2 yang lebih kemas supaya senang dijadikan panoramic photo.

Gambar ini diambil di City Campus UNL. Winter baru saja berlalu masa tu. Suhu semakin panas, jadi, ramailah yang ambil kesempatan menikmati nikmatnya bermandikan cahaya terik mentari yang sudah lama diidamkan oleh 'mereka'. Maka, bergelimpangan lah mereka berbaring di sana sini sekitar kawasan campus.

Siapa-siapa yang ada Photoshop dan ingin mencuba, silakan~
1) File - Scripts - Statistics - Pilih kepingan gambar yang hendak digabung - OK

Setelah digabung, gambar ini sudah separuh siap. Teruskan dengan langkah2 berikut. Senang je~

2) Select semua gambar - Edit - Auto-align layers... Biarkan seketika untuk PS menganalisis gambar.
3) Edit - Auto-blend layers... Hasilnya, anda akan lihat, gambar lebih kemas.
4) Merge/Flattern layers.
5) Akhir sekali, Crop gambar mengikut citarasa sendiri.
6) Save as JPG. Siap!

Video tutorial

Dan hasilnya... sebuah gambar panorama yang panjang gabungan dari 4 gambar tadi.

Klik pada gambar untuk paparan yg lebih jelas dan mengancam


Bolehlah buat perbandingan gambar sebelum di atas dan yang telah siap. Menarik bukan?
Selamat Mencuba!

-MHSS-
(gambar hiasan)

April 18, 2010

Pintu Rezeki - Kasih Ibu Sampai Syurga 3


"Amin!"

"Ya cikgu..."

"Waktu rehat nanti jumpa Cikgu Kalsum di pejabat ye. Ada perkara dia nak cakap dengan kamu." Suara Cikgu Ruziah, guru kelasnya, lantang ditujukan kepada Amin. Semua anak mata dalam kelas itu tertumpu pada Amin kini.

"Baik cikgu." Dengan akur Amin menjawab.


Selang beberapa ketika.
Loceng menandakan waktu rehat pun berbunyi. Perutnya berkeroncong seirama dengan deringan loceng itu, namun perasaan tidak senangnya menyembunyikan rasa lapar yang meronta.
Amin tertanya-tanya mengapa Cikgu Kalsum mahu berjumpa, "Ada buat salah ke aku? Serius je suara Cikgu Ruziah tadi..Hishh, risau-risau. Nak pergi ke tak ni? Eh mestilah kena pergi, dah janji tadi. Takpe2..yakin Amin! Kau tak buat salah tak usah risau." Amin cuba menenangkan dirinya sendiri.
Dia melangkah menuju ke pejabat dengan perasaan yang bercampur baur.

"Assalamualaikum cikgu." Dia menyuakan kepalanya masuk ke dalam ruang bilik Guru Penolong Kanan itu, sambil mengetuk pintu dan memberi salam.

"Waalaikumussalam Amin.. Masuklah, duduk sini. Eh kamu tak pergi makan dulu ke?" Tanya Puan Kalsum.

"Sudah cikgu, saya makan kuih yang ibu saya bekalkan tadi." Amin menjawab tenang. Dia tak menipu, memang benar dia ada makan sedikit tadi, cuma segigit dua. "Ada hal apa cikgu nak jumpe saya? Saya ada buat salah ke cikgu? Kalau ada, saya minta maaf."


"Hee. Sabar Amin.. Belum apa2, kamu sudah minta maaf. Kamu tiada buat salah ape pun." Balas Puan Kalsum dengan senyuman, lucu bila melihat muka Amin yang jelas menyembunyikan kegelisahan.

March 19, 2010

Spring Break '10

Panas. Suka sangat. Lama rasanya tak merasai nikmat panas setelah berbulan dihujani emping-emping salju putih yang kadang tak tertahan kesejukannya. Alhamdulillah, walaupun cuaca kini tak lah sepanas di Malaysia, paling kurang ia tak lah sesejuk awal dan pertengahan winter, yang perlahan-perlahan mengucap selamat tinggal dan memberi laluan kepada musim bunga (bungakah? kering je pokok..hu) untuk menyerlahkan serinya. Itulah kuasa Allah dalam mengatur gerak alam yang begitu sempurna mengikut kehendakNya, Subhanallah.

Segala puji dan syukur yang berhak hanya untuk Nya kerna memberikan peluang bagi diri ini merasai seluruh nikmat kehidupan hingga kini. Walau ada sedikit kepayahan di sana sini, itulah tanda kasih sayang Allah dan juga pengajar terbaik dalam melalui hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. InsyaAllah. Semoga ditetapkan iman dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian-ujian Allah itu.

Sunset sky

Semalam. Hari yang cantik dan damai, cuma sejuk-sejuk manja je dek angin yang bertiup, boleh lagi pakai t-shirt biasa dua lapis, lega rasanya dah tak perlu pakai baju tebal2.
Latar gambar. Lewat petang di Holmes Lake, Lincoln NE. Kunjungan kali kedua setelah aktiviti barbeque Fall yang lepas. Sungguh jauh bezanya. Tasik yang masih lagi separuh beku dan juga pokok-pokok botak yang tak berdaun, hanya ranting dan dahan peneman seri. Namun masih teruja dengan keindahan saujana di sini setelah berdiri di atas bukit. Cantik, tenang, rasa macam nak tidur je kat situ..he.Gambar ini tidak di edit banyak, hanya tambah tulisan dan 'lighting effect'. Hasil karya sahabat, Amel yang menggunakan dslr Canon EOS40D nya. TY -.-


Without You

Ini pula gambar di Des Moines, sewaktu trip ke Iowa, negeri jiran Nebraska. Alhamdulillah juga, dapatlah keluar dari duduk di kawasan U ni saja. Luaslah sikit pemandangan mata. Sepanjang jalan melihat saujana yang luas terbentang.
Gambar ini pun tak diedit banyak, hanya lighting effect dan kombinasi lapisan warna je. 5 minit siap..
Credit to Amel. Dia terjumpa spot ni sewaktu main lari-lari turun naik bukit nih. Orang, kerusi, dan pokok tunggal berlatar langit luas. Cantik.


p/s: Nak lihat lagi sedikit sebanyak gambar-gambar sepanjang jalan di Iowa dan Holmes Lake sewaktu Spring break ni, jangan segan2 tengok album 'Spring Break' di facebook. :)
Ataupun, baca nukilan menarik Kak Nadiah ini.. =) [promo2..he]

MHSS -.-

February 21, 2010

Hawa 2

Dia tersengih sendirian. Leka memandang anak-anak kecil yang berkejaran di susur gajah menghala ke kampus utama. Biasalah, hari sabtu sememangnya ramai ahli keluarga yang datang melawat. Riuh, namun hatinya sedikit terhibur melihatkan bermacam gelagat mereka dari atas. Pandangan dari tingkat 5 segalanya nampak kecil di bawah, sekecil hatinya mungkin. Pandangan dilarikan ke hadapan dan ke atas pula, nun terbentang ciptaan Allah yang Maha Luas. Kalimat 'Subhanallah' terpacul keluar dari bibirnya, perlahan dia mengalun zikir ke hadrat Sang Pencipta. Tenang.

Dada langit tampak membiru gelap, mendung tak berawan, "Ya Allah, janganlah Kau turunkan hujan, hambaMu baru saje lepas menjemur kain tadi," getus hatinya. Namun apakan daya seorang hamba kerdil meminta sedemikian rupa, jika puting beliung sekalipun didatangkan, itu pasti sudah kehendakNya.


Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:

Tidaklah kamu melihat bahwa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) es dari langit, (yaitu) dari (gumpalan-gumpalan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) es itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan dipalingkanNya dari sesiapa yang dikehendakinya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.

(An Nuur : 43)

February 15, 2010

Mesti Tonton

Terdapatkah apa-apa mata lain selain daripada dua mata kita ini?
Terdapatkah telinga lain selain telinga kita yang dua ini?
Terdapatkah cara-cara lain untuk menerima ilmu selain pancaindera dan akal fikiran kita?
Dunia moden barat yang tidak percayakan Tuhan berkata, TIDAK.
Tetapi al-quran berkata, YA!
Quran berkata bahawa hati boleh melihat.
Quran berkata bahawa hati boleh mendengar.
Apabila iman memasuki hati seseorang, maka Allah memasukkan juga nur 'cahaya' ke dalamnya.
Dan dengan cahaya itu, hati dapat melihat apa yang dua mata kita tak dapat lihat.

February 10, 2010

Qulubullati fissudurr

Sabda Rasulallah SAW yang tercinta;

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulallah SAW bersabda:

Wa inna filjasadi mudghah, iza shalahat shalahal jasadu kulluhu, wa iza fasadat fasadal jasadu kulluhu, ala wahia al-qalbu.

Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.

(Potongan dari sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh al-imam Bukhari dan Muslim)

Lalu kita bertanya, di manakah terletaknya hati (qalbu) itu? Ayat-ayat Allah menjawab:

"...Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah qulubullatifissudurr (hati yang di dalam dada)".

[Surah al-Hajj, 22:46]

Wallahu'aleem.


Diri ini cuba menjawab soalan yang diutarakan oleh seorang sahabat berbunyi:

Untuk menilai seseorang atau sesuatu mana yang lebih penting? (Memandang dengan mata yang terbuka atau mata hati yang terbuka)

February 8, 2010

Detik Pemergianmu


Ada sebuah kisah tentang Cinta yang sebenar-benar cinta, Cinta yang dititipkan Allah melalui kehidupan Rasul Nya.
Pagi itu... Walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.
Pagi itu... Rasulallah dengan suara terbatas menyampaikan khutbah,

"Wahai umatku... Kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya.."

"Ku wariskan dua perkara kepada kalian, Al-Quran dan Sunnahku.."

"Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku.."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulallah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.
Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca,
Manakala Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.
Usman menghela nafas panjang,
Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.
Isyarat itu telah datang, saatnya kian tiba..

February 7, 2010

Kuliah Online - Kalimah Allah: Hukum, Dakwah & Siyasah

Alhamdulillah setelah sekian lama musykil, keliru, dengan isu kalimah Allah yang melanda negara kita tercinta Malaysia baru-baru ini (sepertimana yang sedia maklum), akhirnya dapat juga lebih memahaminya setelah mendengar/mengikuti kuliah online yang disampaikan secara langsung oleh Ustaz Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman, selama satu jam lebih semalam.

Jazaakallah kepada penganjur kuliah online ini, MISG-USA yang dengan jayanya dapat melaksanakan kuliah online yang pertama untuk tahun 2010. Untuk diri ini, kali kedua sepanjang berada di US ini, setelah yang pertama pada Nov.14 yang lalu disampaikan oleh Akhi Musaab Shaharom.

Sungguh ringkas dan padat ulasan beliau dengan membawa isu ini kepada sudut hukum/aqidah, dakwah, dan juga siyasah/politik. InsyaAllah banyak input berguna yang boleh kita dapat dan akan lebih memahami isu ini, agar kita tidak lagi keliru dan tidak melemparkan pandangan kosong kita sendiri.

Tak perlulah diri ini mengulas panjang mengenai isi kandungan ceramah beliau. Jika mahu mendengar rakaman kuliah online ini. Bolehlah download di laman web MISG ini. Mudah saja. :)

Download>> Kuliah Online: Nama Allah @ MISG

InsyaAllah, sangat bermanfaat.


Serba sedikit tulisan Ust. Zaharuddin mengenai isu ini di laman web nya.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

...

Tetapi, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

Lebih lanjut: Rujuk DI SINI.

Baca sampingan, tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin & Terkini.

InsyaAllah, semoga kita lebih beriman dengan NYA dan diperkuatkan pegangan agar tidak mudah lari dari prinsip/hukum Islam yang sebenar.
Bi'iznillah.

MHSS
Februari 7, 2010

January 28, 2010

Nasi Lemak, Kuih - Kasih Ibu Sampai Syurga 2

Kisah sebelum: Vespa Kenangan.


Haruman embun pagi tidak pernah terhidu sekuat ini. Segar. Kesamaran kabus melitupi saujana mata memandang, tak terlihat lagi pencawang elektrik yang berdiri di hujung petak sawah sebelah timur kampung. Walau dalam kegelapan, selalunya itulah objek yang pertama sekali mata Amin tatap bila melangkah keluar dari mahligainya seawal jam 6 setengah pagi dengan lengkap berpakaian sekolah. Melihatkan dedaun yang basah kuyup bagai dimandikan, Amin menduga, "Barangkali hujan lebat malam tadi ni, patutlah rasa sejuk lain macam."

"Amin.. Apa yang dimenungkan lagi tu? Lekas bawa bakul ni ke warong Mak Eton, nanti dia tak sempat pulak nak siap menghidang. InsyaAllah murah rezeki keluar waktu macam ni, semua orang memang tengah cari sarapan. Baik-baik jalan ye nak." Pesan Mak Jah kepada Amin bila melihat Amin duduk diam merenung hamparan langit dan sawah terbentang dihadapannya.

"Baik bu." Jawab Amin ringkas, dia mencapai tangan bondanya untuk bersalam lalu mencium kedua belah pipi wanita itu, satu-satunya wanita yang amat Amin kasihi.

"Amin pergi dulu. Ibu jangan risau, tahulah Amin jaga diri. Amin kan dah besar..he." Senyum si ibu melebar menampakkan baris giginya tersusun. Sangat cantik di mata Amin. Senyuman itulah yang menjadi pendorong dalam kehidupan Amin, jikalau boleh tak mahu dia berhenti menatap senyuman di wajah wanita itu, ibunya tersayang. "Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Mak Jah menjawab. Sejuk hatinya melihat Amin, sesejuk dan sedamai angin pagi yang bertiup lembut menyapa seluruh jasad. Jauh di sudut hatinya, dia mendoakan agar dia dan Amin diberi kekuatan bagi menempuh kehidupan hari-hari esok, mengharapkan ia akan terus kekal seindah tika ini walaupun ada secebis kekurangannya antara dia dan Amin.

Begitulah rutin harian Amin dan Mak Jah awal-awal pagi. Si ibu selepas solat subuh lagi sudah siap menyediakan tempahan nasi lemak juga kuih-muih air tangannya untuk dibawa Amin berjalan kaki melangkah ke warong Mak Eton. Setelah itu, sekolah destinasi Amin. Berlainan dengan rakan-rakan kelasnya lain yang masih lagi bersenang lenang di rumah, antaranya menunggu bas sekolah, menunggu untuk dihantar oleh bapa mereka, ataupun ada yang mengerah kudrat mengayuh basikal. Fenomena yang sudah sinonim dalam Kampung Seri Menanti, cuma ada satu sekolah menengah yang ditempatkan dalam kampung itu. Walaubagaimanapun, Amin tetap bersyukur kerana punya peluang untuk menuntut ilmu, peluang yang tidak akan dia sia-siakan. Hari-harinya dilalui tanpa keluh resah kerana dia yakin pasti ada hikmah di hujung titian perjalanan hidupnya ini.

Tetapi, ada satu perkara yang Amin rahsiakan daripada pengetahuan Mak Jah.

January 21, 2010

Hawa

Di kala sang bulan gah memerhati alam, ditemani si bintang-bintang mempersona gelitanya malam, menghiasi langit cakerawala yang kian suram, dalam kesamaran itu tampak syahdunya wajah insan menginsafi akan khilafnya yang silam, jemarinya rancak meratib butiran tasbih sedang alunan irama cinta berkumandang dibibir memuji-muji kebesaran Tuhannya... Tuhan sekalian alam.

Di sebalik tirai kamar hatinya, dia berbisik dan merintih ke hadrat Tuhan yang Maha Esa, "Adakah ini balasan MU kepadaku? Apakah ini yang selayaknya aku terima Ya Allah? Jika inilah dugaan MU bagi mematangkan diri ini, aku redha Ya Rabbi. Jika dengan dugaan ini membuatkanku tersedar, terima kasih Ya Tuhanku. Sesungguhnya hambaMu amat lemah dalam meniti gelora kehidupan yang penuh pancaroba, dalam melayari bahtera hidup yang Engkau amanahkan, dalam mendaki gunung kasihMu nan sayup tinggi. Bantulah diri ini dalam mencari sinar yang didambakan setiap insan, sinar kebenaran yang membawa ku terus menuju ke jalan Mu, Ya Rabbul 'Izzati."

January 16, 2010

Snippet: According to them and their book

Selasa, Jan.12 - Hari kedua kelas dalam semester kedua ini berlangsung baik, alhamdulillah. Walaupun salji-salji yang masih memenuhi segenap lapisan inci dataran bumi UNL ini, dengan suhu yang masih di bawah paras beku, perlu diharungi jua. Inilah yang pertama pengalaman ke kelas dengan merasai kesejukan salji. Mengigil. Bagi diri ini yang baru hendak membiasakan diri, biasalah 3 lapis baju campur winter jacket siap dengan snowcap, seluar pun mesti kena pakai thermal kat dalam, classmates lain yang American segelintirnya rilek je macam pergi kelas time Fall, gloves pun ada yang tak pakai! Fuhh..tebal kulit mereka agaknye..hee.

Sehinggalah petang sesudah pulang dari kelas dengan menaiki basikal (boleh lagi naik basikal, lalu jalan rata takpe..he. Lebih cepat berbanding nak tunggu bas), sesudah pulang dari UR Grocery (Kedai Runcit Pak Arab) membeli sekampit beras basmathi 15 lb dengan 2 tin sardin Morocco... Ketika sampai di muka pintu apartment 2007 Q, berdirilah seorang pakcik di sebalik pintu itu, datuk mungkin, usia lingkungan separuh abad lebih, berbadan besar serupa macam badan Santa Claus cuma janggut dia tak seputih watak typical Santa tu, berbaju biasa dengan menyarung baju ala-ala pekerja bengkel diluarnya... Pelik. Nampak macam bercakap sendiri, mulut terkumat kamit membaca sesuatu.. Dia menoleh, perasan ku di luar. Baik. Dibukakannya pintu itu untuk diri ini mungkin agak kesian melihatkan ku membawa kampit beras yang disangkut di kepala basikal.. sambil meraba-raba kocek jeans mencari gugusan kunci dengan sarung tangan tak dicabut terlebih dulu memang agak nampak kelam kabut la..hu.

January 10, 2010

Vespa Kenangan - Kasih Ibu Sampai Syurga 1

Selami kisahnya...

Vespa Kenangan - Kasih ibu sampai Syurga

"Ibu, Amin dah beli tepung dan gula yang ibu suruh Amin beli balik dari sekolah tadi. Ada Amin letakkan di dapur." Lembut Amin menuturkan bicara kepada Ibunya tersayang. Lalu seperti biasa dia melangkah menuju ke pinggir tangga, duduk di situ memikirkan...

"Ya nak... Terima kasih. Biarkanlah dulu. Ibu tengah siapkan jahitan yang Cik Kiah kirim ni." Sambil tangan dan kakinya sibuk bekerja di mesin jahit singer itu, Mak Jah menjawab.

Amin. Seorang anak yang taat. Kasihnya kepada ibu tidak pernah kurang walau senipis helaian rambut. Selepas pemergian ayahnya dua tahun lalu, Pak Latiff, ibunya sahajalah tempat Amin bergantung, tempat Amin bermanja, tempat Amin bergurau senda. Tiada kawan dan adik beradik lain seperti orang lain yang boleh Amin ajak main bilamana petang-petang di kawasan rumah kampung dekat dengan bendang itu. Kalau dulu, waktu arwah ayahnya masih ada, Amin sangat rapat dengannya. Bersiar-siar keliling kampung dengan dibonceng Pak Latiff, motor Vespa hijau tinggalan atuk itu sungguh comel sekali masa itu. Sekarang sudah usang jadinya, tak ada siapa yang nak jaga. Ramai juga orang kampung yang lalu lalang bertanya mengenai Vespa itu. Ada yang sanggup beli sampai harga beribu ringgit. Yalah, semua tahu enjin motor itu kuat dan tahan lama, boleh dijadikan enjin pada gerabak angkut sawit, tanah, pendek kata memang bagus. Ada juga yang mahu menjadikan koleksi barang antik, dan ada yang saja-saja ingin masuk kelab Vespa di pekan sana. Tapi, setiap kali ada orang yang datang melamar Vespa itu, Aminlah yang menjadi penentang nombor satu. Macam-macam alasan dan hujah diberi Amin kepada ibunya supaya tidak menjual motor itu. Akhirnya, sampai sekarang duduk saja Vespa itu di tempatnya, tempat kali terakhir ia diletakkan oleh orang kampung selepas dihantar pulang. Amin rasakan kenangannya pada Vespa itu sangat bernilai, walaupun sudah nampak agak usang kini, Amin tetap sayang, Amin sapu badannya tiap-tiap petang sewaktu pulang dari sekolah bila hendak naik tangga rumah. Cuma dia tak tahu membawanya saja.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails