January 28, 2010

Nasi Lemak, Kuih - Kasih Ibu Sampai Syurga 2

Kisah sebelum: Vespa Kenangan.


Haruman embun pagi tidak pernah terhidu sekuat ini. Segar. Kesamaran kabus melitupi saujana mata memandang, tak terlihat lagi pencawang elektrik yang berdiri di hujung petak sawah sebelah timur kampung. Walau dalam kegelapan, selalunya itulah objek yang pertama sekali mata Amin tatap bila melangkah keluar dari mahligainya seawal jam 6 setengah pagi dengan lengkap berpakaian sekolah. Melihatkan dedaun yang basah kuyup bagai dimandikan, Amin menduga, "Barangkali hujan lebat malam tadi ni, patutlah rasa sejuk lain macam."

"Amin.. Apa yang dimenungkan lagi tu? Lekas bawa bakul ni ke warong Mak Eton, nanti dia tak sempat pulak nak siap menghidang. InsyaAllah murah rezeki keluar waktu macam ni, semua orang memang tengah cari sarapan. Baik-baik jalan ye nak." Pesan Mak Jah kepada Amin bila melihat Amin duduk diam merenung hamparan langit dan sawah terbentang dihadapannya.

"Baik bu." Jawab Amin ringkas, dia mencapai tangan bondanya untuk bersalam lalu mencium kedua belah pipi wanita itu, satu-satunya wanita yang amat Amin kasihi.

"Amin pergi dulu. Ibu jangan risau, tahulah Amin jaga diri. Amin kan dah besar..he." Senyum si ibu melebar menampakkan baris giginya tersusun. Sangat cantik di mata Amin. Senyuman itulah yang menjadi pendorong dalam kehidupan Amin, jikalau boleh tak mahu dia berhenti menatap senyuman di wajah wanita itu, ibunya tersayang. "Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Mak Jah menjawab. Sejuk hatinya melihat Amin, sesejuk dan sedamai angin pagi yang bertiup lembut menyapa seluruh jasad. Jauh di sudut hatinya, dia mendoakan agar dia dan Amin diberi kekuatan bagi menempuh kehidupan hari-hari esok, mengharapkan ia akan terus kekal seindah tika ini walaupun ada secebis kekurangannya antara dia dan Amin.

Begitulah rutin harian Amin dan Mak Jah awal-awal pagi. Si ibu selepas solat subuh lagi sudah siap menyediakan tempahan nasi lemak juga kuih-muih air tangannya untuk dibawa Amin berjalan kaki melangkah ke warong Mak Eton. Setelah itu, sekolah destinasi Amin. Berlainan dengan rakan-rakan kelasnya lain yang masih lagi bersenang lenang di rumah, antaranya menunggu bas sekolah, menunggu untuk dihantar oleh bapa mereka, ataupun ada yang mengerah kudrat mengayuh basikal. Fenomena yang sudah sinonim dalam Kampung Seri Menanti, cuma ada satu sekolah menengah yang ditempatkan dalam kampung itu. Walaubagaimanapun, Amin tetap bersyukur kerana punya peluang untuk menuntut ilmu, peluang yang tidak akan dia sia-siakan. Hari-harinya dilalui tanpa keluh resah kerana dia yakin pasti ada hikmah di hujung titian perjalanan hidupnya ini.

Tetapi, ada satu perkara yang Amin rahsiakan daripada pengetahuan Mak Jah.


"Kuihh... Kuihh..., Na..si lemakkk..!"

"Kuihh... Kuihh..., Na..si lemakkk..!"

"Amin... Mari sini!" Panggil seorang makcik tua yang memang sudah mengenali Amin, dan sudah menjadi salah seorang pelanggan tetap nasi lemak dan kuih yang dibawa Amin bila melewati jalan hadapan rumahnya itu.

Amin lantas menuju ke arahnya, "Nenek nak barapa? Macam biasa ye?"

"Taklah, kali ni luar biasa sikit, bagi 5 bungkus nasi lemak dengan karipap tu dua ringgit ye. Cucu-cucu nenek ada dekat dalam, mak ayahnya tinggalkan mereka duduk dengan nenek sebab mereka nak ke Indonesia seminggu. Nenek ni dah tak kuat nak bangun pagi-pagi memasak untuk mereka, mujur nenek tahu kamu hari-hari akan lalu bawakan makanan ni, senang nenek tinggal beli je." Senyum.

"Oh, yeke.. Mesti comel-comel kan cucu nenek tu." Sambil memasukkan nasi lemak dan kuih-kuih yang diminta itu ke dalam plastik dan menyerahkannya kepada Nek Midah. Amin dah anggap Nek Midah macam neneknya sendiri, selalu ada masa terluang di situlah tempat Amin bertandang untuk berborak menghilangkan sunyi rumah itu, juga kadangkala menolongnya membersihkan halaman yang dipenuhi dedaunan yang gugur dari pohon-pohon buah keliling rumah Nek Midah. Kalau hari biasa, Nek Midah duduk berdua sahaja dengan Tok Jalal, juga seorang yang baik hati.

"Balik dari sekolah nanti, singgahlah sini kejap.. Kenal-kenal dengan cucu nenek. Boleh juga buat kawan main sama. Kamu kan pernah kata nak ada adik." Ujar Nek Midah sambil membuka bekas duitnya dan menghulurkan sekeping duit kertas lima ringgit kepada Amin. Amin mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Senyum sahaja dia mendengar perkataan 'adik' itu, namun dihatinya menguntum suatu perasaan, dia tahu itu sesuatu yang agak mustahil, cukuplah ada dia dan ibunya sahaja. Syukur.

Suara Nek Midah bergema lagi, "Semoga Allah merahmati kamu cu.. Beruntung ibu Amin ada anak macam Amin, ikhlaskan hati dalam setiap yang Amin buat. Kuatkan semangat, belajar biar pandai dan berjaya ya." Butir-butir nasihat Nek Midah didengar Amin dengan penuh tumpuan, dipandangnya wajah wanita itu bagai melihat ibunya yang berkata-kata.

"InsyaAllah nek... Amin memang ikhlas nak tolong ibu. Sementara nak sampai ke gerai Mak Eton tu, Amin jualkanlah sebahagian dulu, ada rezeki datanglah orang yang membelinya. Terima kasih ye nek sebab selalu beli nasi lemak dan kuih ibu Amin ni. Baik, nanti balik sekolah Amin singgah sini, insyaAllah." Jujur Amin menerangkan kepada Nek Midah dan terus berlalu pergi. Tanggungjawabnya masih belum selesai.

Berjalan lagi. Langkah Amin seiring dengan sayup-sayup suaranya mengalunkan,

"Kuihh... Kuihh..., Na..si lemakkk..!"


*******************************


"Assalamualaikum Mak Eton, macam biasa... Nanti habis waktu sekolah, Amin singgah sini ambil balik bakul dengan duitnya semua sekali ya."

"Oh Amin. Waalaikum salam... Yalah, letakkan atas meja tu ye. Cepat sikit, nanti kamu lambat sampai depan pagar sekolah. Hari ni hari Isnin." Jawab Mak Eton.

Setelah meninggalkan bakul nasi lemak dan kuih di warong itu, juga dititipkan bersama duit yang Amin dapat hasil jualan sepanjang perjalanannya tadi kepada Mak Eton, Amin terus melangkah ke sekolah yang selang 100 meter dari situ. Jam di warong Mak Eton menunjukkan hampir pukul 7 pagi. Memang masih sempat untuk Amin tiba sebelum perhimpunan rasmi hari Isnin berlangsung.

Amin sudah jauh berlalu pergi meninggalkannya, namun Mak Eton masih tegak berdiri memerhatikan hayunan langkah kaki anak muda itu. Mengenangkan betapa luhurnya hati dan kebaikan diri seorang yang bergelar anak, di hati kecilnya mengucap syukur dan bertasbih memuji kebesaran Allah yang mengurniakan ketabahan pada diri anak muda itu. Memang sesuatu yang sukar untuk remaja lain seusianya melakukan sepertimana yang Amin lakukan.

"Semoga Allah memberkatimu nak... Ya, Allah Maha Kuasa dan Adil dalam memperjalankan perjalanan hamba-hambaNya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui atas segala kejadian, tidak Dia menguji seseorang itu melebihi tahap kekuatan dan ketabahan sebagai manusia yang fitrahnya lemah. Subhanallah." Dirinya bermonolog sendiri.


************************************


p/s:
1. Cerita asal kisah Amin menjual nasi lemak bagi membantu ibunya pernah disampaikan ke telinga ini pada suatu masa dahulu di sekolah, oleh seorang Ustaz. Namun dalam cerita Kasih Ibu Sampai Syurga (KISS ) ini, diolah seluruhnya mengikut citarasa penulis. -.-
2. Fakta: Nasi lemak ibu saya memang sedap, saat cerita ini di tulis dan di publish post, terasa lapar dan merindui nasi lemak ibu di rumah..huhu.. "Mak, nak makan... hee" ;)


Sekadar menulis,

MHSS -.-
Khamis, Januari 28, 2010

5 comments:

syamimi rosli said...

akhirnye kisah dari mulut ustaz jadik crita kat alam maya plak~
hakhak...
teruskan berblogging yer...
da rmai pengikut setia ni....

NURUL IZZA said...

nnt kumpul masuk ke creative ent.insyaAllah rmi pembc ;p

MHSS said...

kak mimi:
hehehee..amik part "kuih2,nsi lemak" tu jek..
tu la,,ustz tau msti bangge kn..hehe
insyaAllah,akn brsmbung klu ade mood.. =)

kak izza:
ohhh...segan larr...he.

Nadiah Sidek said...

teringat lak akak masa sekolah rendah dulu..tiap2 pagi mesti dengar "kuih..kuih.."..ada anak jiran jual kuih..duk berjalan la dia sekeliling taman jual kuih tu :)

MHSS said...

ohh yeke..hehe. ntah2..itu Amin ni kut...huhu ;)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails