May 25, 2012

Bulan terakhir


Terbengkalai, tersadai, tak dihirau... begitulah nasib blog ini...
Adanya bagai tiada, sekadar melepas rasa kala sepi,
Bukan tiada cerita untuk dikongsi,
Bukan tiada masa untuk diisi,
Tetapi terlalu banyak cerita dan masa yang tak mampu diterangi,
Peristiwa dan pengalaman yang tak mampu ditulisi, 
Bulan lima dua ribu dua belas yang tak mampu dilupai,
Setiap saat dan detik tika ini amatlah dihargai,
Hanya Allah yang Maha Mengetahui,
Betapa bersyukurnya diri ini,
Dengan nikmat kurniaanMu Ya Ilahi...
Alhamdulillah.

Graduation/Commencement/Convocation. 5 May 2012
University of Nebraska - Lincoln

Jutaan terima kasih kepada rakan2 yang telah saya anggap keluarga di sini. Terutama sekali kepada Abang Hafiz dan Kak Izza yang sudi hadir mewakili keluarga di Malaysia, dan menyediakan santapan tengahari untuk saya dan yang lain. InsyaAllah, jasa dan memori bersama kalian semua tak akan dilupakan :)

Kemudian, dua hari berikutnya...

Antara 2 tempat yang saya lawati dalam kembara USA buat yang terakhir kali,  New York City dan Chicago. Bezanya kali ini saya bergerak sendirian, kembara solo..hehe. Alhamdulillah, semuanya selamat. Tempat-tempat lain yang saya jejaki adalah Boston, New Jersey, dan Philadelphia.



Atas: Chicago dan Bawah: New York City

Walaupun baru pertama kali ini saya jejaki NYC, tetapi bagai sudah biasa dengan kota yang penuh sesak ini, barangkali kerana sudah banyak tempat di US saya lawati, sedikit sebanyak perasaan gementar dan kekok berada di tempat asing telah saya kikis dan buang jauh-jauh. 

Di Philadelphia, saya sempat meraikan majlis graduasi 9 rakan sekolej saya dahulu. Melihat ikatan ukhwah dan kemesraan antara mereka semua di University itu, saya sedikit terharu dan semestinya gembira dengan kegembiraan mereka. Alhamdulillah, kami semua sudah berjaya menamatkan pengajian di US ini dan pulang dengan sekeping Ijazah. Teringat lagi memori bersama rakan2 di INTI college 3 4 tahun lalu, sungguh pantas  masa berlalu. =)

Di Boston, saya keseorangan tiada berteman. Dengan berpandukan sedikit tunjuk ajar seorang sahabat, saya nekad meneruskan penerokaan. Harvard University dan MIT yang gah dengan kehebatannya telah berjaya saya jejaki. Walaupun cuma sehari dan cuma sebentar berada di dua buah university terkemuka dunia ini dan juga berkeliaran di bandar yang tak kurang hebatnya ini, ia sudah memadai. Sebuah Masjid di Boston yang saya singgahi sangatlah indah dan menepati ciri2 sebuah pusat Islam di bandar itu. Saya juga sempat mengikuti pengisian ilmu oleh Imam Suhaib Webb dan berborak dengannya. Isterinya warga Malaysia, dan dia boleh dikira fasih berbahasa melayu, selang 6 bulan pasti ia kembali ke Malaysia sambil mengadakan program2 agama dan ceramah di TV dan radio.

Chicago bandar terakhir saya lawati sebelum pulang ke Lincoln. Entah sudah berapa kali saya ke Chicago, mungkin lebih dari 5 kali, tetapi masih saya rasakan yang Chicago adalah bandar yang paling saya minati kerana bandarnya yang bersih, tidak sesak sesesak NY, susun atur bangunan2 pencakar langitnya yang rapi, dan adanya Tasik Michigan menambah seri indahnya Chicago. hehe.

Walau serata alam pun saya pergi, tetapi..ya..tetapi.. dan sejujurnya... Malaysia, Batu Pahat dan Kuala Lumpur lah yang amat saya rindui ketika ini dan untuk selamanya.. InsyaAllah, 10 hari lagi saya akan kembali ke tanah tempat lahir diri...berjumpa ibu dan keluarga yang sudah 3 tahun tidak ketemu.. =)


-MHSS-


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails