Showing posts with label Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian. Show all posts

July 21, 2012

Ingatan Ramadan


Alhamdulillah.. dah selesai tarawikh berjemaah di Malaysia buat pertama kalinya setelah tiga kali Ramadan jauh di perantauan. Rindu nak mengalunkan zikir2 selingan antara rakaat tarawikh tu dah pun dilepaskan tadi. Penuh syahdu mendayu bait2 zikir tu dilafaz macam langsung tak pernah disebut sebelum ni. Lain sikit kut feeling nye kalau berjemaah kat sini..hehe. macam2 lah kan. Padahal, yang lebih penting dan utama adalah solat tarawikh tu, tak kiralah macam mana cara pelaksanaannya, janji buat, barulah lengkap dan sempurna puasa kita, insyaAllah.

"Abang.. abang nak buat lapan ke sampai habis?", tanya adik Haziq sambil kami berjalan menuju ke surau yang lebih kurang 100 meter je dari rumah.

"Apa yang lapan.. apa yang sampai habis ni Ajiq?" balas saya selamba sambil tersengih.

"Alaa.. rakaat laa."

"Hmm.. imam kat surau ni dia baca surah pendek2 ke yang panjang2?", tanya saya pula bersungguh ingin tahu. Maklumlah, baru pertama kali untuk bersolat tarawikh di surau ni. Ibu, adik2 dan abang pindah ke Taman ni tahun lepas, jadi memang saya kira macam ahli baru la di kawasan ni. Sepanjang kehidupan saya selama sebulan ni memang dah selalu berjemaah maghrib di surau ni, dan dah mengenali ahli2 jemaah surau yang lain. Jadi tak manis lah kalau musim tarawikh ni saya lari solat ke masjid pula. Lagipun jauh sikit, baik solat di sini, menapak je.

"Entah.. Ajiq rasa surah pendek2 kut.. kenapa? apa beza pendek2 dgn panjang2?"

Aduhh.. macam2 soalan pulak dia tanya. Nak jawab ape la ni ye yang sesuai. Fikir sejenak.
"Oh, takde ape beza pun, cuma kalau pakcik-pakcik tua yang jadi Imam biasa dia baca surah pendek, kalau yang baca panjang2 tu, Imam Muda. Hahh..itulah bezanya.." Lantas saya mengukir senyum. Ajiq pun mengangguk tanda faham dan akur dengan jawapan saya beri.. Hahaa..adoii.. kira betul lah kan jawapan ni. Bagi panjang2 nanti takut susah nak hadam pulak.

"Ooo.. jadinya Abang nak buat lapan ke sampai habis?" tanya nya lagi tak puas hati jawapan tadi tak berjawab.

"Haa.. silap tu, buat lapan ke buat dua puluh ke.. semua dikira habis sebenarnya. Tarawikh ni solat sunat yang dituntut, tak kira lah berapa2, yang penting kita buat ikhlas, kalau solat lama2 banyak rakaat pun tapi hati sibuk nak balik rumah, tak elok jadinya. Baik lah buat sikit tapi kita khusyuk, ikhlas, dan yang penting lagi, berterusan sampai habis bulan ramadan nanti." Hahh.. panjang lebar ni, bagi serius sikit, asyik main2 je nanti takut dia langsung tak tahu plak.

"Kira Abang nak buat sampai habis la nih ek? Maksud Ajiq, sampai habis Imam tu dah nak balik rumah.. sampai ada makan2..", jeling.

*Masjid As-Syarif, Simpang Tiga, Gombak
Hahaa..terkena. Pandai nye lah budak ni cakap. Entah bila dia membesar jadi matang macam ni pun tak tahulah, sepeninggalan ke US tiga tahun kut. Budak darjah empat memang dah bijak rupanya..huhu.
"Hahaa.. Okey, AbangPis rasa nak buat lapan je, tak kira lah dia Imam Muda ke, Imam pakcik tua ke..he. Makan2 tu tak pe lah, kat rumah pun ada kuih. Nanti Ajiq duduk sebelah Abang tau, dah sunat kan..", sambil kaki terus menghayun langkah saya menoleh ke arah Ajiq.

Hmm.. Ajiq..Ajiq.. Melihatnya, terkenang saya pada arwah ayah. Kalau dulu semasa usia sebaya Ajiq tika ini, kami di Gombak, arwah ayah lah yang membawa saya dan abang ke masjid bertarawikh, dia mesti melakukan 20 rakaat beserta witir, betul lah kata Ajiq, sampai Imam nak balik, sampai ada makan2. Tapi iye lah, kami ni waktu tu kecil macam Ajiq ni, memang tak duduk diam. Seingat saya, ketika di Masjid AsSyarif Simpang Tiga Gombak tu, kami berjalan2 sekitar masjid, beli jajan, kadang2 main mercun dengan budak2 lain.. Haihh.. beza betul dengan Ajiq sekarang. Saya tahu nanti kalau dia tunggu sampai habis tu, dia jadi bosan, penat, baiklah saya cepatkan aje balik rumah. Semestinya, apa yang penting, dia tahu tentang ibadah puasa dan tarawikh ni sebagaimana arwah ayah tunjuk dan ajarkan kepada kami dahulu, kini saya ajarkan padanya pula. Semoga pahala dan ganjaran nya dapat kepada arwah di sana, insyaAllah.

*Gambar hiasan*

-Sekadar contengan menghias seri dan untuk membuang habuk di blog ni..hehe -.-

Selamat berpuasa saya ucapkan kepada semua.. Rakan2 yang mengenali mahupun yang tidak mengenali. Lebih2 lagi kepada sahabat2 yang masih di Lincoln, USA sana. Salam Ramadan buat kalian. =)

Jujur saya katakan, Roh Ramadan tika di perantauan memang sedikit berbeza berbanding ketika di tanah lahir sendiri. Apa bezanya? sangat panjang untuk dihuraikan.. waimma dari segi rohani mahupun fizikal.. hanya mereka yang melaluinya saja dapat merasai. Apapun, walau di mana jua kita berdiri, tiang addin Islam adalah tetap dan sama, terserah kita untuk mendirikannya.

Wallahu'alam.

-MHSS-
0505: 21072012
Tika hening subuh menanti juadah sahur yang sedang disiapkan oleh bonda tercinta..hehe
Selamat berpuasa! Salam Ramadan 1433H!


*Gambar Masjid As-Syarif itu saya ambil sendiri pada 4 Julai yang lepas. Saya turut melawat kawasan perumahan saya yang dulu, di Kampung Changkat dan Greenwood. Trip Mengimbau kenangan. :)
**Gambar hiasan ketika di Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, 6 Julai yang lalu. Ketika trip kembali ke sekolah bersama rakan2.. :)
Layan Lagu ni jomm.. eh.tetiba -.-




June 4, 2012

Perpisahan sesudah pertemuan

Terasa panas kelopak mata ni tidak semena-mena,
perasaan yang entah datang dari mana,
mungkin jatuh dari langit secara tetiba,
makin ditahan makin terasa,
Bercampur baur suka dan hiba,
Hiba meninggalkan tempat ilmu ditimba,
rakan dan teman yg telah dianggap keluarga, bertahun lama...
Namun,
Rasa suka dan ceria datang menerpa,
Ibu abang dan adik2 menanti di sana,
Wajah mereka kian terbayang di pandangan mata,
Sungguhhh, rindu tidak terkata...
Adat bertemu pasti berpisah,
Adat menumpang di tempat orang pasti perlu kembali,
dan Adat kehidupan pasti bertemu kematian,
Hanya Allah yg kekal abadi.
Dunia ini hanya tumpangan,
Makanya, jalan mesti harus ke depan,
Usah menoleh teruskan melangkah,
Usah mengeluh teruskan perjuangan,
Usah bersedih teruskan kehidupan...
Pasti di 'sana' ada pertemuan yang hakiki, insyaAllah :)


p/s: Nota ini ditulis ketika ini saya sedang berada di Denver Airport, menunggu penerbangan seterusnya ke Los Angeles, untuk pulang ke Malaysia melalui Narita, Japan.


June 3, 2012. 10.30am waktu Denver.

 -MHSS-

June 1, 2012

Pusara


Tahukah anda?
Doa yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW apabila kita melintasi/menziarahi perkuburan orang Islam adalah bukan dengan hanya menyebut, "Assalamualaikum ya Ahlilkubur", yang mana entah datang dari mana ajaran ini, bak kata Ustaz Zahazan Mohamad dalam kuliahnya. =)

Tetapi yang diajar Rasulallah kepada kita adalah dengan menyebut,
"Assalamualaikum ya diara qaumil mukminin wa inna insyaAllahabikum la yakun nas'alullahalana walanas'alullahalana walakumul a'fiyah"
Ringkasan Maksudnya: Assalamualaikum wahai ahli-ahli perumahan kaum mukminin, kamu telahpun mendahului kami, nanti kami pula yang akan turut serta kemudian.

Lihatlah, betapa indahnya ajaran Rasulallah, bukan sekadar kita mendoakan kesejahteraan mereka yang telah tiada, malah kita memuliakan mereka kerana terlebih dahulu telah pergi bertemu Allah Rabbul Izzati. Juga, memperingat diri kita yang masih hidup bahwa kita juga akan pergi mengikuti mereka ke alam barzakh, yang Allah sahaja ketahui bila, di mana, dan bagaimana ia akan berlaku. Zikrul maut. Subhanallah.

Berbanding dengan kebiasaanya, kita sekadar mengucapkan salam kepada ahli kubur dan kemudian berlalu pergi tanpa terkesan barang sedikit pun rasa ingat akan kematian. Maka, bersamalah kita mengamalkan ajaran Rasulallah yang sebaik2 ajaran ini insyaAllah.
Moga ada rahmat dari Nya, biiznillah :)


Sebenarnya, sedang saya belek2 koleksi gambar di laptop ni tadi, terdetik di hati untuk melihat gambar2 sebelum saya berangkat ke USA pada 2009.. tertenung saya seketika pada satu gambar..


Ya, tak sabar rasa saya ingin menziarah pusara ini, di Kampung Parit Nombor 3, Muar Johor. apalah keadaanya sekarang? bersih dan kemas kah.. InsyaAllah, tempat terawal yang saya akan lawati ialah di sini. Sebagaimana dahulu tempat terakhir saya ziarahi sebelum berangkat.
Rindunyaaa ya Allahh.. sampaikan lah daku ke pusara ini dengan selamat. Amin~

Jika arwah masih ada, pasti dia berbangga dengan ke-empat2 anak bujangnya.. Abang saya dan saya masing2 telah berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda pada tahun ini. Dua orang adik saya yang lain masing2 boleh dikatakan cemerlang dalam belajar. Seorang baru lepas PMR dan berjaya mendapat 9A. Tinggal Haziq ini yang masih kecil, sangat berdikari dan cerdas akalnya. Sesekali nanti ingin saya bercerita tentang adik kecil saya yang sorang ini =)
Namun, kami tetap bersyukur.. Allah lebih menyayanginya.


Gambar: Bonda dan adik bongsu saya, Haziq, di pusara Ayahanda, Hj. Suparlan, pada August 2009. Alfatihah ke atas rohnya. Moga ia terus aman di sana dan ditempatkan dalam golongan orang2 beriman insyaAllah.


-MHSS-

January 25, 2012

Sembang-sembang

UNL Winter

"Dah tengok episod baru? Dia dah update", tegur seorang sahabat.

"Belum lagi. Malam nanti lah.. Esok aku takde kelas, boleh lah layan dua tiga drama..hehe", jawabku sambil tersengih dengan mata yang tak beralih dari skrin komputer di depan, telinga tersumbat earphone mendengar dendangan lagu 'Ramalanku Benar Belaka' nyanyian kumpulan Umbrella yang beralun perlahan, tangan menggenggam sebatang pensil tekan, lembaran kertas assignment subjek Finance, 'Options, Futures & Derivatives' terhidang di atas meja sedia minta dipersiap. Fuhh..Multitasking?

Duduk di bilik komputer yang satu ni, di bangunan Jackie Gaughan Multicultural Centre, bilamana petang memang seronok. Sunyi. Nyaman. Tak ramai orang. Dekat dengan restroom dan vending machine. Nak solat pun mudah, ada satu sudut yang jarang dilalui orang, di situlah 'port' kami untuk mengerjakan solat, sujud pada-Nya walau di mana jua berada, apa keadaan sekalipun. Tiada surau dan kemudahan tempat solat bukanlah alasan, lebih2 lagi apabila berada di rantau orang. (Berkaitan juga dengan entri yang lepas =)

Maka, sia-sia dan amat rugilah jika di tempat kita berada itu terdapat surau yang indah, juga masjid yang gah, tetapi hendak melangkah menunaikan solat di situ pun payah..hmm. (Oh.. terlebih pulakk. Sekadar selingan peringatan buat diri dan rakan2 -.- )

Sejujurnya, duduk di sini hampir dua tahun setengah, jauh dari tanah air, terkadang rindu dengan suasana yang telah sebati dalam jiwa raga. Bab hiburan dan pengisian masa lapang contohnya. Mujurlah dengan kemudahan internet masakini, kami tidak ketinggalan menonton hampir setiap cerita2, drama2, filem2, dan rancangan TV yang disiarkan di Malaysia dengan bantuan laman web percuma ini sbg salah satunya. Bahkan video2 ilmiah juga dapat dirasai kemanisan ilmunya di Youtube dan di laman2 web lain, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Elias misalannya. Tetapi yang penting sekali, informasi terkini mengenai apa yang berlaku di tanah air, waimma politik, ekonomi, dan sosial juga dapat kami pantau dan tapis dari kejauhan. Melihat negara sendiri dari kanta kaca mata orang asing memang sedikit berbeza. Terasa diri bagai orang tengah tanpa memihak sesiapa, tapi mahu atau tidak, sekembalinya nanti mestilah memangkah salah satunya, tanggungjawab sbg warga Malaysia perlu dilaksana.
Walau apa pun, Malaysia tetap di hati. Keharmonian bangsa dan negara itulah yang di impi. Agar bersama nanti kecapi mimpi. *

"AJL nanti minggu ni... Kau tau tak?", tanya sahabat tadi lagi setelah ia meng'google' kata kunci AJL 2012 di komputer yang didudukinya.

"Hahh...yeke. Biasa hari ahad lah kan. Tunggu je lah nanti keluar kat internet," balasku selamba. "Agak-agak lagu mana juara?", tanyaku spontan.

"Kau rasa?"

Eh..eh.. aku tanya, dia tanya aku balik pulak.

"Lagu 'Beribu Sesalan'. Confirm! Mantap kut suara diorang...", ujarku dengan serius dan konfiden sekali.

Senyap.

"Aku rasa 'Awan Nano', vokal okay, lagu awesome, lirik pun superb...", jelasnya sambil menunjukkan ibu jari tanda bagus.

"Oh, boleh jugak tuh. Aku ingat kau pilih tu sebab penyanyi dia nama Hafiz, orang nama Hafiz memang selalunya boleh juara..haha", aku berseloroh sengaja mahu mengusik.

"Kenapa dengan Hafiz? Aku panggil kau Syafiq, bukan Hafiz...hahaa." Ketawa.

Cehh..kena balik aku. -.-


Sekali sekala menyakat teman apa lah salahnya. Walau pun berdiskusi yang bukan ilmiah, tetapi ia lebih baik untuk mengeratkan silaturrahim daripada bersembang mengenai hal politik yang tiada berasas dan tiada menahu kebenarannya, yang akhirnya boleh mencetus pergaduhan berpunca dari ketidaksepakatan dalam sesuatu usul politik yang dibahaskan.

Jika perbualan di atas ditukar daripada meramal juara AJL-26 kepada meramal parti apakah yang akan menang pada pilihanraya yang akan datang, atau siapakah yang lebih layak memegang gelaran No.1 dalam Pakatan Rakyat... Maka, tiadalah berakhirnya perbualan itu dengan ketawa jika keduanya berlainan fahaman.
Jika ramalan juara AJL itu benar belaka sekalipun (eh, macam tajuk lagu tadi pulak), nescaya tidak bergaduh besarlah dua sahabat ini, tetapi jika ramalan yang lagi satu tentang politik itu, salah seorangnya benar... Maka, bertengkar lagilah mereka hingga tiada noktahnya.

Diskusi politik itu perlu dan wajar tetapi harus pada tempat dan di medium yang betul bermandatorikan ilmu serta dalil2 yang lengkap dan benar sebagai hujah. InsyaAllah, segala yang sulit dapat diselesaikan dan yang batil dapat diketahui dengan izin-Nya.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui dalam setiap sesuatu. Allahu'alam.

*Ulang chorus*
Malaysia tetap di hati. Keharmonian bangsa dan negara itulah yang di impi. Agar bersama nanti kecapi mimpi.


Nota kaki: Meh layan lagu 'Ramalanku benar belaka' nih..hehe


Sekadar coretan,
-MHSS-
Lincoln, Nebraska USA
January 24, 2012 10:30 p.m. CDT

December 6, 2011

Sebutir Pasir

South Beach Miami

Apalah erti hidup
sekadar penerusan tarikan nafas
tidak boleh atau gentar dihentikan
dan setakat menyelesakan
sebongkah daging pembungkus belulang
yang akhirnya diluluhkan
kematian dan kefanaan.

Yang dinamakan kehidupan
dibanding dengan alam dan ketuhanan
bagai sebutir pasir di daratan
yang hilangnya tidak sedikit pun
menjejas kesempurnaan

di tengah sahara kemanusiaan
seorang musafir bermimpikan
mata air yang mengalir
dengan igauan mengusir

Jadilah aku sebutir pasir
membentuk muka bumi Tuhan yang indah
bukan yang dilayang angin
memasuki mata dan mengalirkan air mata!


Nukilan Hadijah Rahmat
Berita Minggu, 9 Januari 1983

June 5, 2011

Kala Senja

Kala senja,
Indahnya bagai lukisan,
Sinar mentari semakin kelam,
Menanti hadirnya pekat malam,
Hilangnya siang bersama mentari,
Seakan tidak kembali lagi.

Kala senja,
Datangnya hanya seketika,
Mematuhi aturan alam semesta,
Sebagai bukti keagungan Tuhan,
Dalam mencari nilai kehambaan.

Doaku agar Engkau perkenankan,
Terangilah hati dan sanubari ini,
Sebagaimana Engkau menerangi siang yang bergemerlapan,
Dengan cahaya mentari Mu yang tiada bersempadanan,
Janganlah Engkau jadikan hati kami gelap
sebagaimana pekatnya malam yang Engkau jadikan.


-MHSS-
Lincoln, Nebraska USA
June 5, 2011 1.00 am CDT

Sunset 3

Sunset 4

Sunset 2

Sunset 1

February 19, 2011

Noktah

Noktah __. Bukanlah hanya bermakna satu penamat atau pengakhiran sebuah kisah cerita yg dikarang. Tetapi juga satu titik penemu untuk bermulanya suatu lembaran kisah yg baru, kisah yg masih samar akan kesudahannya. Baik sambungannya, maka baiklah pengakhiran yg bakal diketahui. Namun, segalanya telah tertulis dan teratur rapi dalam pengetahuanNya, ya Rabbul 'Izzati. Mahu atau tidak, Jalan cerita yg digarap haruslah bertepatan dengan kehendakNya. Satu demi satu perkataan disusun hingga menjadi baris ayat yg tersusun, olahan rasa diadun bersama bait-bait penghayatan makna tersirat kalimah Allah, disusuli rangkap2 cinta memuji kebesaran Tuhan yg empunya Langit dan Bumi, serta selawat dan salam ke-atas Rasul junjungan Mulia, lalu tersusun nya ia bukan sekadar gah nya patah kata2, tapi berlandaskan makna kata fikir akal dan hati, yg merasa dan mentafsir setiap bait madah.

"InsyaAllah, Moga Allah redha"

Ya muqallibal qulub, dalam setiap detik hati ini adalah dibawah pengetahuanMu, dalam setiap helaan nafas ini adalah kepunyaanMu. Dalam setiap butir kata lidah ini dan dalam setiap geri langkah kaki ini, sesungguhnya bawah kekuasaanMu jua. Redhakanlah segalanya...
Allahu Allah.


bee 4
Gambar hiasan


-MHSS-

December 3, 2010

3 Disember 2010

Alhamdulillahi wakafa.
Subuh jumaat yg penuh indah buat sekian kalinya dapat dirasa. Kenikmatan dan ketenangan tatkala alam menginjak dari malam ke siang, tatkala si bulan mula suram dibalik lindungan awan alam kelam, tatkala fajar hening menyongsong tiba, sesuatu yg sejak azali telah dijanjikan Allah, tidak pernah lari dari aturannya melainkan hanya dgn kehendak-Nya. Kerana itulah yg telah termaktub.
Subuh indah akan kembali lagi, berharap ianya akan terus singgah bersama ketenangan itu. Sepi. Namun itulah titik permulaan bagi setiap hari yg diimpi. Hari yg diharap menjadi suatu yg lebih baik dari semalam. Rindu. Sungguh diri ini merindukan perasaan itu.

“Hidup itu amanah, Nikmat itu anugerah”
Marilah menjalani hidup ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersyukur dengan segala apa yang kita punya. InsyaAllah -.-


-MHSS-

July 11, 2010

Ikan dipancing, Air ditadah, Nasi dipinggan

Jika kamu memancing ikan..
Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu.
Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu saja.
Kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang.
Setelah ia mulai menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya.
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja.
Kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu.

Jika kamu menadah air biarlah menadah secukupnya.
Jangan terlalu mengharapnya sampai penuh dan janganlah menganggap ia begitu teguh.
Cukuplah sekadar keperluanmu.
Apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula.
Akhirnya dibuang begitu saja.
Sedangkan jika kamu pakai secukupnya mungkin kamu dapat memakai selamanya.

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, terimalah seadanya.
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa.
Anggaplah dia manusia biasa.
Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya,
akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya.
Sedangkan jika kamu menganggapnya manusia biasa, kamu akan mudah memaafkannya mungkin kamu akan memilikinya sampai selamanya.

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu.
Mengenyangkan lagi berkhasiat,
Mengapa kamu berlengah dan mencari makanan yang lain.
Terlalu ingin mengejar kelazatan?
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya.
Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu.
Menyayangimu..
Mengasihimu..
Mengapa kamu berlengah dan membandingkannya dengan yang lain.
Terlalu mengejar kesempurnaan?
Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain.
Kamu juga yang akan menyesal.


Nota kaki: Petikan di atas bukan MHSS yang tulis. Sekadar berkongsi bahan bacaan. -.-

Adakalanya perbandingan itu perlu dalam memahami sesuatu yang abstrak, lebih2 lagi dalam hal yg melibatkan perasaan... (lain macam je bunyinye..he)
Bukan berbicara tentang cinta, tetapi menghargai dgn segala apa yang telah kita miliki itulah tanda kasih sebenar.

Sabda Rasulullah SAW:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai dan mengasihi diantara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu organ tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh yang lain turut merasakan sakit dengan tidak bisa tidur dan demam ”
(H.R Muslim - Muntafaq ‘alaih).

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails