Showing posts with label Kisah-kisah. Show all posts
Showing posts with label Kisah-kisah. Show all posts

May 13, 2010

Zahrah

Zahrah (زهرة) maksudnya bunga. Dalam banyak2 bunga yang ada atas muka bumi ini, ada satu 'bunga' yang sangat istimewa. Bunga ini bukan saja istimewa, bahkan amat penting dalam kehidupan sebatang pokok ini. Walaupun pokok ini sudah ketiadaan akar, namun bunga ini masih mekar dengan aromanya. Sepanjang hayatnya, bunga ini telah banyak menabur bakti dengan curahan kasih sayang terhadap tunas dan ulat yang ada di pokok itu. Bunga ini punyai sifat ketabahan yang tiada pada bunga-bunga lain. Sedang bunga-bunga lain gugur mengikut rentak alam, ia tetap kuat memaut dahan. Tidak sekali bunga ini goyah dan membiarkan dirinya gugur jatuh ke tanah.

Hari demi hari, tunas yang dulunya kecil kini sudahpun meningkat dewasa menjadi bunga baru. Ulat itupun sudah bertukar menjadi rerama. Bunga baru (tunas) dan rerama berjanji akan menjaga dan melindungi bunga sepertimana bunga menjaga mereka. Sudah menjadi lumrah, rerama terbang meninggalkan bunga dan pokok itu, namun ia akan kembali suatu hari nanti dengan kepulangan yang menggembirakan, insyaAllah. Namun, bunga ini tidak lagi keseorangan dalam menempuh hidup di pokok yang kehilangan akar itu. Berharap segalanya akan terus baik dan sempurna dengan hadirnya akar baru. Walau akar ini tidaklah sama dan tidak dapat menggantikan akan kehilangan akar yang dulu, namun akar ini telah memberi sebuah sinar harapan yang baru dan melengkapkan pokok itu semula. Tunas2 kecil dapat hidup dengan sempurna dan ceria oleh kehadirannya. Bunga ini semakin berseri dan bertambah harum dalam meniti usia tua nya. Syukur, Bi'iznillah.

Khas buat 'bunga' ini, Hjh Zaharah, sebuah lagu.. dan bunga2 ini semua untuknya... :)




p/s: Dah terlambat ke nak post untuk Hari Ibu? hehe..Boleh je kut.. Sebab hari-hari Hari Ibu -.-

Video hiasan... Sepi Perantau~ :)
"Perjuangan ini, demi mencari keredhaan Ilahi..."

April 18, 2010

Pintu Rezeki - Kasih Ibu Sampai Syurga 3


"Amin!"

"Ya cikgu..."

"Waktu rehat nanti jumpa Cikgu Kalsum di pejabat ye. Ada perkara dia nak cakap dengan kamu." Suara Cikgu Ruziah, guru kelasnya, lantang ditujukan kepada Amin. Semua anak mata dalam kelas itu tertumpu pada Amin kini.

"Baik cikgu." Dengan akur Amin menjawab.


Selang beberapa ketika.
Loceng menandakan waktu rehat pun berbunyi. Perutnya berkeroncong seirama dengan deringan loceng itu, namun perasaan tidak senangnya menyembunyikan rasa lapar yang meronta.
Amin tertanya-tanya mengapa Cikgu Kalsum mahu berjumpa, "Ada buat salah ke aku? Serius je suara Cikgu Ruziah tadi..Hishh, risau-risau. Nak pergi ke tak ni? Eh mestilah kena pergi, dah janji tadi. Takpe2..yakin Amin! Kau tak buat salah tak usah risau." Amin cuba menenangkan dirinya sendiri.
Dia melangkah menuju ke pejabat dengan perasaan yang bercampur baur.

"Assalamualaikum cikgu." Dia menyuakan kepalanya masuk ke dalam ruang bilik Guru Penolong Kanan itu, sambil mengetuk pintu dan memberi salam.

"Waalaikumussalam Amin.. Masuklah, duduk sini. Eh kamu tak pergi makan dulu ke?" Tanya Puan Kalsum.

"Sudah cikgu, saya makan kuih yang ibu saya bekalkan tadi." Amin menjawab tenang. Dia tak menipu, memang benar dia ada makan sedikit tadi, cuma segigit dua. "Ada hal apa cikgu nak jumpe saya? Saya ada buat salah ke cikgu? Kalau ada, saya minta maaf."


"Hee. Sabar Amin.. Belum apa2, kamu sudah minta maaf. Kamu tiada buat salah ape pun." Balas Puan Kalsum dengan senyuman, lucu bila melihat muka Amin yang jelas menyembunyikan kegelisahan.

February 21, 2010

Hawa 2

Dia tersengih sendirian. Leka memandang anak-anak kecil yang berkejaran di susur gajah menghala ke kampus utama. Biasalah, hari sabtu sememangnya ramai ahli keluarga yang datang melawat. Riuh, namun hatinya sedikit terhibur melihatkan bermacam gelagat mereka dari atas. Pandangan dari tingkat 5 segalanya nampak kecil di bawah, sekecil hatinya mungkin. Pandangan dilarikan ke hadapan dan ke atas pula, nun terbentang ciptaan Allah yang Maha Luas. Kalimat 'Subhanallah' terpacul keluar dari bibirnya, perlahan dia mengalun zikir ke hadrat Sang Pencipta. Tenang.

Dada langit tampak membiru gelap, mendung tak berawan, "Ya Allah, janganlah Kau turunkan hujan, hambaMu baru saje lepas menjemur kain tadi," getus hatinya. Namun apakan daya seorang hamba kerdil meminta sedemikian rupa, jika puting beliung sekalipun didatangkan, itu pasti sudah kehendakNya.


Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:

Tidaklah kamu melihat bahwa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) es dari langit, (yaitu) dari (gumpalan-gumpalan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) es itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan dipalingkanNya dari sesiapa yang dikehendakinya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.

(An Nuur : 43)

February 8, 2010

Detik Pemergianmu


Ada sebuah kisah tentang Cinta yang sebenar-benar cinta, Cinta yang dititipkan Allah melalui kehidupan Rasul Nya.
Pagi itu... Walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.
Pagi itu... Rasulallah dengan suara terbatas menyampaikan khutbah,

"Wahai umatku... Kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya.."

"Ku wariskan dua perkara kepada kalian, Al-Quran dan Sunnahku.."

"Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku.."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulallah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.
Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca,
Manakala Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.
Usman menghela nafas panjang,
Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.
Isyarat itu telah datang, saatnya kian tiba..

January 28, 2010

Nasi Lemak, Kuih - Kasih Ibu Sampai Syurga 2

Kisah sebelum: Vespa Kenangan.


Haruman embun pagi tidak pernah terhidu sekuat ini. Segar. Kesamaran kabus melitupi saujana mata memandang, tak terlihat lagi pencawang elektrik yang berdiri di hujung petak sawah sebelah timur kampung. Walau dalam kegelapan, selalunya itulah objek yang pertama sekali mata Amin tatap bila melangkah keluar dari mahligainya seawal jam 6 setengah pagi dengan lengkap berpakaian sekolah. Melihatkan dedaun yang basah kuyup bagai dimandikan, Amin menduga, "Barangkali hujan lebat malam tadi ni, patutlah rasa sejuk lain macam."

"Amin.. Apa yang dimenungkan lagi tu? Lekas bawa bakul ni ke warong Mak Eton, nanti dia tak sempat pulak nak siap menghidang. InsyaAllah murah rezeki keluar waktu macam ni, semua orang memang tengah cari sarapan. Baik-baik jalan ye nak." Pesan Mak Jah kepada Amin bila melihat Amin duduk diam merenung hamparan langit dan sawah terbentang dihadapannya.

"Baik bu." Jawab Amin ringkas, dia mencapai tangan bondanya untuk bersalam lalu mencium kedua belah pipi wanita itu, satu-satunya wanita yang amat Amin kasihi.

"Amin pergi dulu. Ibu jangan risau, tahulah Amin jaga diri. Amin kan dah besar..he." Senyum si ibu melebar menampakkan baris giginya tersusun. Sangat cantik di mata Amin. Senyuman itulah yang menjadi pendorong dalam kehidupan Amin, jikalau boleh tak mahu dia berhenti menatap senyuman di wajah wanita itu, ibunya tersayang. "Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Mak Jah menjawab. Sejuk hatinya melihat Amin, sesejuk dan sedamai angin pagi yang bertiup lembut menyapa seluruh jasad. Jauh di sudut hatinya, dia mendoakan agar dia dan Amin diberi kekuatan bagi menempuh kehidupan hari-hari esok, mengharapkan ia akan terus kekal seindah tika ini walaupun ada secebis kekurangannya antara dia dan Amin.

Begitulah rutin harian Amin dan Mak Jah awal-awal pagi. Si ibu selepas solat subuh lagi sudah siap menyediakan tempahan nasi lemak juga kuih-muih air tangannya untuk dibawa Amin berjalan kaki melangkah ke warong Mak Eton. Setelah itu, sekolah destinasi Amin. Berlainan dengan rakan-rakan kelasnya lain yang masih lagi bersenang lenang di rumah, antaranya menunggu bas sekolah, menunggu untuk dihantar oleh bapa mereka, ataupun ada yang mengerah kudrat mengayuh basikal. Fenomena yang sudah sinonim dalam Kampung Seri Menanti, cuma ada satu sekolah menengah yang ditempatkan dalam kampung itu. Walaubagaimanapun, Amin tetap bersyukur kerana punya peluang untuk menuntut ilmu, peluang yang tidak akan dia sia-siakan. Hari-harinya dilalui tanpa keluh resah kerana dia yakin pasti ada hikmah di hujung titian perjalanan hidupnya ini.

Tetapi, ada satu perkara yang Amin rahsiakan daripada pengetahuan Mak Jah.

January 21, 2010

Hawa

Di kala sang bulan gah memerhati alam, ditemani si bintang-bintang mempersona gelitanya malam, menghiasi langit cakerawala yang kian suram, dalam kesamaran itu tampak syahdunya wajah insan menginsafi akan khilafnya yang silam, jemarinya rancak meratib butiran tasbih sedang alunan irama cinta berkumandang dibibir memuji-muji kebesaran Tuhannya... Tuhan sekalian alam.

Di sebalik tirai kamar hatinya, dia berbisik dan merintih ke hadrat Tuhan yang Maha Esa, "Adakah ini balasan MU kepadaku? Apakah ini yang selayaknya aku terima Ya Allah? Jika inilah dugaan MU bagi mematangkan diri ini, aku redha Ya Rabbi. Jika dengan dugaan ini membuatkanku tersedar, terima kasih Ya Tuhanku. Sesungguhnya hambaMu amat lemah dalam meniti gelora kehidupan yang penuh pancaroba, dalam melayari bahtera hidup yang Engkau amanahkan, dalam mendaki gunung kasihMu nan sayup tinggi. Bantulah diri ini dalam mencari sinar yang didambakan setiap insan, sinar kebenaran yang membawa ku terus menuju ke jalan Mu, Ya Rabbul 'Izzati."

January 10, 2010

Vespa Kenangan - Kasih Ibu Sampai Syurga 1

Selami kisahnya...

Vespa Kenangan - Kasih ibu sampai Syurga

"Ibu, Amin dah beli tepung dan gula yang ibu suruh Amin beli balik dari sekolah tadi. Ada Amin letakkan di dapur." Lembut Amin menuturkan bicara kepada Ibunya tersayang. Lalu seperti biasa dia melangkah menuju ke pinggir tangga, duduk di situ memikirkan...

"Ya nak... Terima kasih. Biarkanlah dulu. Ibu tengah siapkan jahitan yang Cik Kiah kirim ni." Sambil tangan dan kakinya sibuk bekerja di mesin jahit singer itu, Mak Jah menjawab.

Amin. Seorang anak yang taat. Kasihnya kepada ibu tidak pernah kurang walau senipis helaian rambut. Selepas pemergian ayahnya dua tahun lalu, Pak Latiff, ibunya sahajalah tempat Amin bergantung, tempat Amin bermanja, tempat Amin bergurau senda. Tiada kawan dan adik beradik lain seperti orang lain yang boleh Amin ajak main bilamana petang-petang di kawasan rumah kampung dekat dengan bendang itu. Kalau dulu, waktu arwah ayahnya masih ada, Amin sangat rapat dengannya. Bersiar-siar keliling kampung dengan dibonceng Pak Latiff, motor Vespa hijau tinggalan atuk itu sungguh comel sekali masa itu. Sekarang sudah usang jadinya, tak ada siapa yang nak jaga. Ramai juga orang kampung yang lalu lalang bertanya mengenai Vespa itu. Ada yang sanggup beli sampai harga beribu ringgit. Yalah, semua tahu enjin motor itu kuat dan tahan lama, boleh dijadikan enjin pada gerabak angkut sawit, tanah, pendek kata memang bagus. Ada juga yang mahu menjadikan koleksi barang antik, dan ada yang saja-saja ingin masuk kelab Vespa di pekan sana. Tapi, setiap kali ada orang yang datang melamar Vespa itu, Aminlah yang menjadi penentang nombor satu. Macam-macam alasan dan hujah diberi Amin kepada ibunya supaya tidak menjual motor itu. Akhirnya, sampai sekarang duduk saja Vespa itu di tempatnya, tempat kali terakhir ia diletakkan oleh orang kampung selepas dihantar pulang. Amin rasakan kenangannya pada Vespa itu sangat bernilai, walaupun sudah nampak agak usang kini, Amin tetap sayang, Amin sapu badannya tiap-tiap petang sewaktu pulang dari sekolah bila hendak naik tangga rumah. Cuma dia tak tahu membawanya saja.

December 31, 2009

Tak Pernah Ku Lupa

Lincoln, NE.USA. December 30, 2009, 2.00pm - 4.00pm
Malaysia. December 31, 2009, 4.00am - 6.00am

Gembira tidak terucap diri ini kerana dapat bersembang panjang dengan seseorang yang pernah hadir dalam hidupku sewaktu ketika dahulu. Ketika diri baru m
engenal erti kedewasaan. Ketika semangat muda remaja mula membakar dan bercambah antara kaca dan permata. Ketika diri baru saja kehilangan seorang yang bergelar bapa. Hadir insan ini yang begitu baik mengambil berat diriku. Tak kan ku lupa jasamu guru hingga ke hujung hayat. InsyaAllah.

Mengimbas memori lampau...


Pintu masuk sekolah kesayangan SBPISB

Asrama Putera SBPISB ini tidak pernah sunyi tanpa suaranya baik di pagi hari mengejutkan anak-anak bangun untuk ke surau bersolat subuh berjemaah ataupun di malam hari menyuruh untuk tidur pula. Kadangkala ditangannya ada sebatang rotan ataupun hanger untuk 'menghalau' syaitan2 yang berpelukan bersama anak-anak ini ketika lena diulik mimpi indah. Begitulah rutin harian insan ini yang bergelar warden. Nampak mudah namun sebenarnya tidak. Perlu berhadapan dengan bermacam-macam karenah anak muda remaja yang kononnya sudah kenal erti hidup dan kata nasihat orang dewasa dipandang enteng. Yang kononnya inginkan kebebasan hidup tanpa kongkongan dan peraturan yang dianggap menyusahkan.
Sedarlah rakan, dengan kongkongan dan peraturan dulu itulah yang menjadikan kita manusia tika ini. Mengajar kita jika tidak banyak, sedikit tentang hidup di dunia luar yang sebenar dan penuh mencabar ini.

November 20, 2009

Lincoln: Randomly selected memories


Diam. Sunyi. Sepi. Ini kalau najis cicak jatuh pun boleh dengar macam bunyi kapal terbang terhempas. Tapi nasib baik la tak jumpa lagi spesis cicak kat rumah ni. Ada je TV nak tengok, tapi nafsu menonton tu lari entah ke mana. Macam-macam jenis siaran ada, dari local channel sampai la ke benua Australia sana ada. Betul ke? Main cakap je.hehe. Tapi memang banyak, belum sempat nak menghafal satu persatu. Takut. Dah hafal nanti asyik saja duduk depan TV dengan kerja lain menimbun suci tak ternoda. Parah.
Mug berisi hot chocolate dibiar sejuk menanti disua ke mulut. Buku Statistic yang dipinjam dari Love Memorial Library pun dari tadi hanya menanti penuh harap untuk dibelek. Kesian. Tak apa lah, hari sabtu macam ni cadang memang nak rileks sikit. Harap-harap encik buku tu faham, tak merajuk. Ini kalau ada orang ajak keluar jalan kan ke baik, takdelah duduk sorang2 macam ni. Kesian betul la diri nih.

Tirai langsir sliding door diselak hingga ke hujung, ruang rumah bawah yang tadi nya gelap kini terang dek nikmat cahaya matahari kurniaan Allah menyimbah masuk. Siang yang sangat damai di Lincoln, pagi sabtu ni. Tunggu lah malam nanti, 2 3 jam sebelum 'kick off' sampai la habis match memang Lincoln lah satu-satunya tempat di Nebraska ni yang paling ramai orang kunjungi dan havoc giler. Go Big Red!! Go Big Red!! Akan sayup-sayup kedengaran di ruang atmosfera City Campus UNL ni. Dan semestinya semua nampak merah. American Football. Sukan yang sangat sangat digilai Americans. Hampir ter influence jugak lah semenjak duduk sini. Memang takkan terlepas setiap minggu menghadap TV tengok benda alah tu. Dari tak faham apa-apa, sampai dah boleh jadi coach agak nye nih..he. Tapi seriously memanglah tersangat banyak rules dalam sport ni. Complicated untuk difahami satu persatu. Tapi yang penting, TOUCHDOWN!! Hehe.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails