Showing posts with label Perantauan. Show all posts
Showing posts with label Perantauan. Show all posts

May 25, 2012

Bulan terakhir


Terbengkalai, tersadai, tak dihirau... begitulah nasib blog ini...
Adanya bagai tiada, sekadar melepas rasa kala sepi,
Bukan tiada cerita untuk dikongsi,
Bukan tiada masa untuk diisi,
Tetapi terlalu banyak cerita dan masa yang tak mampu diterangi,
Peristiwa dan pengalaman yang tak mampu ditulisi, 
Bulan lima dua ribu dua belas yang tak mampu dilupai,
Setiap saat dan detik tika ini amatlah dihargai,
Hanya Allah yang Maha Mengetahui,
Betapa bersyukurnya diri ini,
Dengan nikmat kurniaanMu Ya Ilahi...
Alhamdulillah.

Graduation/Commencement/Convocation. 5 May 2012
University of Nebraska - Lincoln

Jutaan terima kasih kepada rakan2 yang telah saya anggap keluarga di sini. Terutama sekali kepada Abang Hafiz dan Kak Izza yang sudi hadir mewakili keluarga di Malaysia, dan menyediakan santapan tengahari untuk saya dan yang lain. InsyaAllah, jasa dan memori bersama kalian semua tak akan dilupakan :)

Kemudian, dua hari berikutnya...

Antara 2 tempat yang saya lawati dalam kembara USA buat yang terakhir kali,  New York City dan Chicago. Bezanya kali ini saya bergerak sendirian, kembara solo..hehe. Alhamdulillah, semuanya selamat. Tempat-tempat lain yang saya jejaki adalah Boston, New Jersey, dan Philadelphia.



Atas: Chicago dan Bawah: New York City

Walaupun baru pertama kali ini saya jejaki NYC, tetapi bagai sudah biasa dengan kota yang penuh sesak ini, barangkali kerana sudah banyak tempat di US saya lawati, sedikit sebanyak perasaan gementar dan kekok berada di tempat asing telah saya kikis dan buang jauh-jauh. 

Di Philadelphia, saya sempat meraikan majlis graduasi 9 rakan sekolej saya dahulu. Melihat ikatan ukhwah dan kemesraan antara mereka semua di University itu, saya sedikit terharu dan semestinya gembira dengan kegembiraan mereka. Alhamdulillah, kami semua sudah berjaya menamatkan pengajian di US ini dan pulang dengan sekeping Ijazah. Teringat lagi memori bersama rakan2 di INTI college 3 4 tahun lalu, sungguh pantas  masa berlalu. =)

Di Boston, saya keseorangan tiada berteman. Dengan berpandukan sedikit tunjuk ajar seorang sahabat, saya nekad meneruskan penerokaan. Harvard University dan MIT yang gah dengan kehebatannya telah berjaya saya jejaki. Walaupun cuma sehari dan cuma sebentar berada di dua buah university terkemuka dunia ini dan juga berkeliaran di bandar yang tak kurang hebatnya ini, ia sudah memadai. Sebuah Masjid di Boston yang saya singgahi sangatlah indah dan menepati ciri2 sebuah pusat Islam di bandar itu. Saya juga sempat mengikuti pengisian ilmu oleh Imam Suhaib Webb dan berborak dengannya. Isterinya warga Malaysia, dan dia boleh dikira fasih berbahasa melayu, selang 6 bulan pasti ia kembali ke Malaysia sambil mengadakan program2 agama dan ceramah di TV dan radio.

Chicago bandar terakhir saya lawati sebelum pulang ke Lincoln. Entah sudah berapa kali saya ke Chicago, mungkin lebih dari 5 kali, tetapi masih saya rasakan yang Chicago adalah bandar yang paling saya minati kerana bandarnya yang bersih, tidak sesak sesesak NY, susun atur bangunan2 pencakar langitnya yang rapi, dan adanya Tasik Michigan menambah seri indahnya Chicago. hehe.

Walau serata alam pun saya pergi, tetapi..ya..tetapi.. dan sejujurnya... Malaysia, Batu Pahat dan Kuala Lumpur lah yang amat saya rindui ketika ini dan untuk selamanya.. InsyaAllah, 10 hari lagi saya akan kembali ke tanah tempat lahir diri...berjumpa ibu dan keluarga yang sudah 3 tahun tidak ketemu.. =)


-MHSS-


April 17, 2012

Hikayat


Hatta tersebutlah kisah seorang pemuda merantau menuntut ilmu di negara orang, berbekalkan doa dan harapan keluarga, serta berkat rezeki yang Maha Pemurah, tibalah ia menjadi orang asing di sini. Arakian berlakulah suatu perubahan terhadap dirinya, yang telah mematangkan dan mendewasakan ia.

Syafiq merupakan seorang pelajar di University of Nebraska-Lincoln (UNL). Berambut panjang, jarang sekali berambut pendek seperti sewaktu di Malaysia. Di tanah air ramai mengenalinya dengan nama Hafiz atau Apis. Wataknya sedikit berbeza berbanding dahulu, lebih2 lagi ketika berada di INTI College Nilai, kini ia lebih gemar berseloroh dengan rakan2, dan kerap melakukan aktiviti sukan. Kerna kini ia adalah Syafiq. Biarlah Syafiq terus menjadi Syafiq.. selagi ia masih di sini.

Tika satu masa nanti, datang orang menyapanya dengan panggilan Syafiq, maka ketahuilah ia yang mereka berkenalan dan bersahabat sewaktu pembelajarannya di UNL, USA. Syafiq sudah tidak lama di sini, ia akan pergi dalam masa yang tidak sampai dua bulan lagi.
Namun usah risau, kerna Hafiz dan Syafiq tetap individu yang sama, sampai bila-bila, walau penampilannya berbeza =)

Noktah.


Penghikayat,
MHSS

March 3, 2012

Rindu bunga


Titis embun gugurnya damai,
Di celahan rimbun daunan;
Ingin ku tatap desa yang permai,
Setelah sekian di kejauhan.

Tika langit mulai menguning, usah berharap ianya putih kembali.
Hingga ke lain hari.
Tika hujan mulai turun, usah berharap salji kembali.
Hingga ke lain musim.
Begitu aturan alam...

Selamat jalan Winter terakhir,
Selamat kembali Spring terindah.

Rindu bau kuntuman bunga,
Rindu lagi bunga di hati. =)






-MHSS-

January 25, 2012

Sembang-sembang

UNL Winter

"Dah tengok episod baru? Dia dah update", tegur seorang sahabat.

"Belum lagi. Malam nanti lah.. Esok aku takde kelas, boleh lah layan dua tiga drama..hehe", jawabku sambil tersengih dengan mata yang tak beralih dari skrin komputer di depan, telinga tersumbat earphone mendengar dendangan lagu 'Ramalanku Benar Belaka' nyanyian kumpulan Umbrella yang beralun perlahan, tangan menggenggam sebatang pensil tekan, lembaran kertas assignment subjek Finance, 'Options, Futures & Derivatives' terhidang di atas meja sedia minta dipersiap. Fuhh..Multitasking?

Duduk di bilik komputer yang satu ni, di bangunan Jackie Gaughan Multicultural Centre, bilamana petang memang seronok. Sunyi. Nyaman. Tak ramai orang. Dekat dengan restroom dan vending machine. Nak solat pun mudah, ada satu sudut yang jarang dilalui orang, di situlah 'port' kami untuk mengerjakan solat, sujud pada-Nya walau di mana jua berada, apa keadaan sekalipun. Tiada surau dan kemudahan tempat solat bukanlah alasan, lebih2 lagi apabila berada di rantau orang. (Berkaitan juga dengan entri yang lepas =)

Maka, sia-sia dan amat rugilah jika di tempat kita berada itu terdapat surau yang indah, juga masjid yang gah, tetapi hendak melangkah menunaikan solat di situ pun payah..hmm. (Oh.. terlebih pulakk. Sekadar selingan peringatan buat diri dan rakan2 -.- )

Sejujurnya, duduk di sini hampir dua tahun setengah, jauh dari tanah air, terkadang rindu dengan suasana yang telah sebati dalam jiwa raga. Bab hiburan dan pengisian masa lapang contohnya. Mujurlah dengan kemudahan internet masakini, kami tidak ketinggalan menonton hampir setiap cerita2, drama2, filem2, dan rancangan TV yang disiarkan di Malaysia dengan bantuan laman web percuma ini sbg salah satunya. Bahkan video2 ilmiah juga dapat dirasai kemanisan ilmunya di Youtube dan di laman2 web lain, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Elias misalannya. Tetapi yang penting sekali, informasi terkini mengenai apa yang berlaku di tanah air, waimma politik, ekonomi, dan sosial juga dapat kami pantau dan tapis dari kejauhan. Melihat negara sendiri dari kanta kaca mata orang asing memang sedikit berbeza. Terasa diri bagai orang tengah tanpa memihak sesiapa, tapi mahu atau tidak, sekembalinya nanti mestilah memangkah salah satunya, tanggungjawab sbg warga Malaysia perlu dilaksana.
Walau apa pun, Malaysia tetap di hati. Keharmonian bangsa dan negara itulah yang di impi. Agar bersama nanti kecapi mimpi. *

"AJL nanti minggu ni... Kau tau tak?", tanya sahabat tadi lagi setelah ia meng'google' kata kunci AJL 2012 di komputer yang didudukinya.

"Hahh...yeke. Biasa hari ahad lah kan. Tunggu je lah nanti keluar kat internet," balasku selamba. "Agak-agak lagu mana juara?", tanyaku spontan.

"Kau rasa?"

Eh..eh.. aku tanya, dia tanya aku balik pulak.

"Lagu 'Beribu Sesalan'. Confirm! Mantap kut suara diorang...", ujarku dengan serius dan konfiden sekali.

Senyap.

"Aku rasa 'Awan Nano', vokal okay, lagu awesome, lirik pun superb...", jelasnya sambil menunjukkan ibu jari tanda bagus.

"Oh, boleh jugak tuh. Aku ingat kau pilih tu sebab penyanyi dia nama Hafiz, orang nama Hafiz memang selalunya boleh juara..haha", aku berseloroh sengaja mahu mengusik.

"Kenapa dengan Hafiz? Aku panggil kau Syafiq, bukan Hafiz...hahaa." Ketawa.

Cehh..kena balik aku. -.-


Sekali sekala menyakat teman apa lah salahnya. Walau pun berdiskusi yang bukan ilmiah, tetapi ia lebih baik untuk mengeratkan silaturrahim daripada bersembang mengenai hal politik yang tiada berasas dan tiada menahu kebenarannya, yang akhirnya boleh mencetus pergaduhan berpunca dari ketidaksepakatan dalam sesuatu usul politik yang dibahaskan.

Jika perbualan di atas ditukar daripada meramal juara AJL-26 kepada meramal parti apakah yang akan menang pada pilihanraya yang akan datang, atau siapakah yang lebih layak memegang gelaran No.1 dalam Pakatan Rakyat... Maka, tiadalah berakhirnya perbualan itu dengan ketawa jika keduanya berlainan fahaman.
Jika ramalan juara AJL itu benar belaka sekalipun (eh, macam tajuk lagu tadi pulak), nescaya tidak bergaduh besarlah dua sahabat ini, tetapi jika ramalan yang lagi satu tentang politik itu, salah seorangnya benar... Maka, bertengkar lagilah mereka hingga tiada noktahnya.

Diskusi politik itu perlu dan wajar tetapi harus pada tempat dan di medium yang betul bermandatorikan ilmu serta dalil2 yang lengkap dan benar sebagai hujah. InsyaAllah, segala yang sulit dapat diselesaikan dan yang batil dapat diketahui dengan izin-Nya.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui dalam setiap sesuatu. Allahu'alam.

*Ulang chorus*
Malaysia tetap di hati. Keharmonian bangsa dan negara itulah yang di impi. Agar bersama nanti kecapi mimpi.


Nota kaki: Meh layan lagu 'Ramalanku benar belaka' nih..hehe


Sekadar coretan,
-MHSS-
Lincoln, Nebraska USA
January 24, 2012 10:30 p.m. CDT

January 20, 2012

Seeru fil Ard


Kembara

Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah Al-Ankabut: Ayat 20

Golden Gate Bridge

Golden Gate Bridge, San Francisco, CA

Sesungguhnya, Bumi Allah itu luas, sujudlah pada Nya walau di mana kita berada, walau di sudut mana kita berdiri, dan walau sesukar apa keadaan sekalipun.
Tiada tempat yang terlindung daripada pengetahuan Nya, Allah ya Rabbul'alameen.
Mungkin di setiap tempat sujud kita itu nanti bakal menjadi saksi di akhirat kelak betapa kita patuh akan perintah-Nya. InsyaAllah wa Allahu A'lam.


Alhamdulillah, hentian rehat di New Mexico
menjadi salah satu tempat untuk kami bersepuluh sujud pada-Nya.

(Gambar kanan: kredit kepada Cik Fadhilah Raihan)

Semoga rehlah dan pengembaraan kami di tanah asing Amerika S
yarikat ini mendapat redha dari Nya, biiznillah.



New Mexico

New Mexico, USA
Grand Canyon

Grand Canyon National Park, Arizona, USA
Las Vegas

Las Vegas, Nevada, USA
Hollywood sign

Hollywood Sign, Los Angeles, California, USA
Torpedo Wharf

Torpedo Wharf, San Francisco, California, USA

Ringkasan laluan perjalanan kami sejauh lebih kurang 4200 batu ( 6760 km)

Gambar2 seterusnya boleh dilihat di Flickr dan di Facebook. ('',)

Syukur

Syukur pada Mu Allah atas nikmat pemberian bagi diri ini,
melihat bukti kekuasaan Mu yang meluas tidak terperi,
dari timur hingga ke barat bumi,
dari fajar hingga ke senja hari,
dari kecil hingga ke dewasa diri,
dan dari celik hingga ke tertutup rapatnya mata ini nanti...

-Alhamdulillah-



-MHSS-
Lincoln Nebraska, USA
January 19, 2012 8:00 pm CDT
25 Safar 1433H

October 5, 2011

September

Ulangtahun

Alhamdulillah.
Syukur masih diberikan kesempatan oleh Nya untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Bulan sembilan yang lalu (7 Sept. bersamaan 9 Syawal) genaplah usia diri ini 22 tahun. Masih dalam usaha merangkak menuju kedewasaan, menimba segala ilmu yg ada untuk dibuat modal di dunia, mengaut segala peluang yg ada mengerjakan amal soleh dan kebaikan untuk dibuat bekal di akhirat.

"Bertambahnya usia, maka bertambahlah kematangan seseorang. Bertambah tanggungjwab, bertambah cabaran hidup, dan moga bertambah ilmu serta amal kebaikannya. Yang berkurang hanyalah jangka hayat hidupnya. Semakin hari semakin mendekati ajal yg entah bila akan kunjung tiba." - Sept 7, 2011. Hafizuddin Syafiq: Facebook =)

Sesungguhnya Allah memberi kesempatan hidup dan memanjangkan usia seseorang yang baik untuk dia terus beramal dan berbuat kebaikan di dunia. Dan, Allah memanjangkan usia seseorang yang tidak baik itu supaya dia dapat memohon ampun dan bertaubat akan perbuatan buruknya serta dapat juga berbuat kebaikan sebelum ia dimatikan. Subhanallah. Begitu tingginya kasih dan sayang Allah pada makhlukNya.
Walau dimanapun kita tergolong, bersyukurlah akan nikmat hidup yang dikurniakan, dan berusaha untuk tergolong dalam golongan yang baik dan diredhai, biiznillah.

Ramadan 1432H telahpun jauh pergi meninggalkan kita. Syawal berlalu pantas dan melabuhkan tirainya seminggu yg sudah. Kini yang tinggal hanya kenangan manis dan perasaan untuk menemuinya kembali. Semoga bersama kita diberi kesempatan lagi oleh Allah untuk merasai nikmat Ramadan dan Syawal di tahun mendatang, insyaAllah.


Suasana Aidilfitri 1432H

Semestinya suasana di dua bulan mulia ini pasti berbeza pada tahun hadapan bagi diri ini. Boleh dikatakan, inilah Raya yang paling meriah semenjak berada diperantauan. Maka dengan itu, terhasillah video kenangan ini sebagai tanda memori kami semua, pelajar2 melayu di University of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat.


Kali pertama 'bermain' dengan Videocamera Canon GL2, sedikit teruja dengan kecanggihannya berbanding camera yang sedia ada. Kemudian, video2 dicantumkan dan diproses menggunakan MovieMaker, pastinya ramai mengetahui dan arif tentang software ni. Sejujurnya video ini tidaklah sehebat dan secanggih video2 yang dihasilkan oleh mereka yang mahir, tetapi cukuplah ini sebagai tanda kenangan pada insan2 yang pernah hadir dalam hidup ini. Ada pergerakan dan suara jika dibandingkan dengan gambar statik sahaja. =)

Semoga ikatan ukhwah dan persaudaraan kita sepanjang berada di bumi asing ini akan terus kekal hingga ke anak cucu, dan ke hujung nyawa. InsyaAllah.


-MHSS-
Lincoln Nebraska, USA
October 4, 2011 4:00 pm CDT
6 Zulkaedah 1432H

July 16, 2011

Secebis Tinta

Alhamdulillahi wakafa wassolaatu wassalaamu 'ala rasulillah.

Gelap malam pasti terang, panas terik pasti dingin, susah payah pasti mudah, akhirnya.. dan dengan izin Nya. Berlalunya malam, siang menanti. Berlalunya duka, suka menanti. Tiada apa yang berlaku tanpa sebab musabab dan tanpa hikmah disebaliknya. Segalanya telah ditentukan Allah rabbul'izzati, kita sebagai hamba hanya perlu redha disamping usaha dan doa ke arah husnul khatimah.

Secebis tinta mengenai diri. Sudah hampir dua tahun meninggalkan keluarga dan tanah air tercinta. Bulan depan 24hb genaplah ia. Seakan baru semalam berkumpul dengan mereka buat kali terakhir pada 1 Ramadan 1430H, seakan baru semalam melambai tangan pada bonda, adik2 dan abang di KLIA. Semestinya tika ini, rindu pada keluarga kian meronta, wajah2 orang yg tersayang saban hari kian terbayang, ibu, adik2 dan abang, juga rindu pada kekecohan dan senda gurau di rumah atok tempat berkumpulnya seluruh keluarga, entah bila agaknya dapat bersua lagi dengan mereka. Masih sempatkah untuk berjabat tangan dan berbalas senyum dengan mereka. Dapatkah diri ini sampai ke saat itu? Moga2 dgn izinNya, InsyaAllah.
Masa setahun yang mendatang di bumi Amerika ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin, pelajaran yang semakin mencabar di tahun akhir, yang menjadi penentu dan hala tuju bilamana sudah mendapat degree kelak. Semoga dipermudahkan segalanya, biiznillah.

Semakin mendekati Ramadan dan Aidilfitri, semakin diri dibelenggu rasa rindu ini. Mengapakah? Itu lah yang menjadi tanda tanya... -.-
Mungkin sebab sedari kecil waktu di dua bulan mulia ini lah paling rapat dan kerap bersama keluarga, bukannya tak pernah berpisah dengan mereka, tapi inilah kali pertama selama tiga tahun lamanya langsung tak bertemu. Memang ini pun yang dihajatkan, biarlah tiga tahun ini menjadi pemangkin rasa kasih sayang pada insan2 yang tersayang. Selain dapat menebus segala kekhilafan diri pada mereka, dan lebih menghargai mereka apabila dekat kelak.
Logiknya, bila berjauhan barulah perasaan rindu dan sayang itu makin kuat. Ya! benar. Memang tak dapat disangkal lagi teori ini.


Juga Segala puji dan syukur bagi Allah yang merancang dan menjadikan segalanya teratur dan semakin sempurna untuk diri ini. Bukan lah kesempurnaan yang diharapkan tapi kehidupan yang lebih baik dari semalam dan masa lepas itu sudah memadai. Terima kasih pada insan2 yang dekat dan banyak membantu. Ketahuilah, setiap detik masa kita yang dihabiskan bersama di tanah asing ini akan tersemat selamanya di hati. Ukhwah fillah abadan abada.


-MHSS-
Lincoln Nebraska, USA
July 16, 2011 1:30am CDT
15 Shaaban 1432H

April 10, 2011

Rantau

Bayang redup si pohon rendang,
Buat menumpang di kala terik,
Negeri orang hamba bertandang,
Menjadi perantau tidaklah serik.

Seri hiasan di ruang tamu,
Pelita dipasang buatan sendiri,
Dagang mencari bekalan ilmu,
Hanya ilmu pedoman diri.

Burung camar terbang melayang,
Burung ketitir membuat sarang,
Sungguh pun jauh dari yg tersayang,
Kiriman doa utusan rindu tak pernah jarang.

Merentas rimba bersuluh terang,
Bekal di bawa dalam perahu,
Dagang hamba jauh ke seberang,
Menangis di hati siapa yg tahu.

Tersesat berjalan di hutan rimba,
Takut terjumpa binatang buas,
Usah diturut rasanya hiba,
Kasih Ilahi terbentang luas.

Buah rambai beli di pekan,
Makan setangkai di bangku halaman,
Doa dan syukur hamba panjatkan,
InsyaAllah, tahun mendatang sambutlah kepulangan.

Langit merah


-MHSS-
April 9, 2011 - 5.00 pm

~Kasih Nya tumpah pada yang setia~
~Tak jemu meminta di kala alpa~

March 29, 2011

Pesona alam

Siang yang cerah mendingin,
Pesona alam luas terbentang...
Bersama tiupan bayu menyapa seluruh jasad,
Membelai hati meruntun rasa mengusik jiwa...
Indah nian tarbiah alam,
Dikala rindu kasih irama asmara...






P1100891
P1100840


MHSS -.-
March 28, 2011

Latar gambar: Wyoming & South Dakota, United States - Spring Break 2011

February 24, 2011

24 Februari 2011

Ayam dan itik sama berjalan,
Bunga-bungaan menjadi hiasan;
Sungguh ku rindu kampung halaman,
Pilu dan hiba tidak keruan.

Membelah badai lautan tenang,
Bahtera berlayar dipimpin Nakhoda;
Setiap detik masa dikenang,
Bersama keluarga terutama bonda.

Kelip-kelip disangka api,
Asap api embun berderai;
Jauh di mata dekat dihati.
Niat di hati tak mahu bercerai.

Berjalan malam berteman pelita,
Siulan unggas penyeri alam;
Hidup menjadi tidak sekata,
Setiap hari berjaga malam.

Bunga tanjung nan indah rupa,
Hiasan sanggul si dara jelita;
Ujian dan dugaan datang menerpa,
Menjadi benteng diri yang alpa.

Hati-hati memetik bunga,
Takut tertusuk duri ke jari;
Telah kuserah jiwa dan raga,
Dalam melaksana tanggungjawab diberi.

Burung nuri hinggap di dahan,
Menjadi seri si pohon rendang;
Jika inilah dugaan Tuhan,
InsyaAllah, pasti ada hikmah bertandang.

bee 3
Gambar hiasan



-MHSS-
Feb. 24, 2011 - 12.00 am

July 6, 2010

Summer

Musim panas itu menyeronokkan..
Hujan itu menyegarkan..
Angin itu menguatkan..
Salji itu menggembirakan..
Yang dikatakan cuaca buruk itu sebenarnya tiada.
Yang ada hanya jenis-jenis cuaca baik yang berbeza sahaja.
Daripada sesuatu yang buruk itu,
Sentiasa lahir sesuatu yang baik.
Kenal erti kata syukur.
Alhamdulillah -.-


Mood: Entah..
Sedang berada di minggu akhir 1st 5 week Summer session.
Semoga segalanya baik, insyaAllah.

May 13, 2010

Zahrah

Zahrah (زهرة) maksudnya bunga. Dalam banyak2 bunga yang ada atas muka bumi ini, ada satu 'bunga' yang sangat istimewa. Bunga ini bukan saja istimewa, bahkan amat penting dalam kehidupan sebatang pokok ini. Walaupun pokok ini sudah ketiadaan akar, namun bunga ini masih mekar dengan aromanya. Sepanjang hayatnya, bunga ini telah banyak menabur bakti dengan curahan kasih sayang terhadap tunas dan ulat yang ada di pokok itu. Bunga ini punyai sifat ketabahan yang tiada pada bunga-bunga lain. Sedang bunga-bunga lain gugur mengikut rentak alam, ia tetap kuat memaut dahan. Tidak sekali bunga ini goyah dan membiarkan dirinya gugur jatuh ke tanah.

Hari demi hari, tunas yang dulunya kecil kini sudahpun meningkat dewasa menjadi bunga baru. Ulat itupun sudah bertukar menjadi rerama. Bunga baru (tunas) dan rerama berjanji akan menjaga dan melindungi bunga sepertimana bunga menjaga mereka. Sudah menjadi lumrah, rerama terbang meninggalkan bunga dan pokok itu, namun ia akan kembali suatu hari nanti dengan kepulangan yang menggembirakan, insyaAllah. Namun, bunga ini tidak lagi keseorangan dalam menempuh hidup di pokok yang kehilangan akar itu. Berharap segalanya akan terus baik dan sempurna dengan hadirnya akar baru. Walau akar ini tidaklah sama dan tidak dapat menggantikan akan kehilangan akar yang dulu, namun akar ini telah memberi sebuah sinar harapan yang baru dan melengkapkan pokok itu semula. Tunas2 kecil dapat hidup dengan sempurna dan ceria oleh kehadirannya. Bunga ini semakin berseri dan bertambah harum dalam meniti usia tua nya. Syukur, Bi'iznillah.

Khas buat 'bunga' ini, Hjh Zaharah, sebuah lagu.. dan bunga2 ini semua untuknya... :)




p/s: Dah terlambat ke nak post untuk Hari Ibu? hehe..Boleh je kut.. Sebab hari-hari Hari Ibu -.-

Video hiasan... Sepi Perantau~ :)
"Perjuangan ini, demi mencari keredhaan Ilahi..."

April 25, 2010

Panoramic Photo

Rindu datang lagi.. Rindu untuk menggodek-godek Photoshop CS3 -.-

~Panoramic Photo~
Kepingan gambar2 yang diadun dan digabung sehingga sebati menghasilkan satu gambar panorama. Kebiasaannya panoramic photo ini untuk menonjolkan pemandangan dari sudut ~160 darjah. Ataupun boleh juga kata seluas mata kita memandang.

Dengan menggunakan Adobe Photoshop, amat mudah untuk menghasilkan panoramic photo ni.
Saya cuba gambar2 ini. Selak-selak folder gambar, terjumpalah gambar2 yg agak sesuai untuk digabungkan. Di satu tempat yang sama, tetapi 4 gambar yang diambil dari sudut yang berbeza. Gambar2 ini saya tangkap masa pertengahan bulan lepas, bunga2 pun belum keluar lagi, dan tiada niat untuk buat panoramic photo, jadi sudut yang diambil taklah terlalu tepat. Mungkin lepas ni nak cuba tangkap gambar2 yang lebih kemas supaya senang dijadikan panoramic photo.

Gambar ini diambil di City Campus UNL. Winter baru saja berlalu masa tu. Suhu semakin panas, jadi, ramailah yang ambil kesempatan menikmati nikmatnya bermandikan cahaya terik mentari yang sudah lama diidamkan oleh 'mereka'. Maka, bergelimpangan lah mereka berbaring di sana sini sekitar kawasan campus.

Siapa-siapa yang ada Photoshop dan ingin mencuba, silakan~
1) File - Scripts - Statistics - Pilih kepingan gambar yang hendak digabung - OK

Setelah digabung, gambar ini sudah separuh siap. Teruskan dengan langkah2 berikut. Senang je~

2) Select semua gambar - Edit - Auto-align layers... Biarkan seketika untuk PS menganalisis gambar.
3) Edit - Auto-blend layers... Hasilnya, anda akan lihat, gambar lebih kemas.
4) Merge/Flattern layers.
5) Akhir sekali, Crop gambar mengikut citarasa sendiri.
6) Save as JPG. Siap!

Video tutorial

Dan hasilnya... sebuah gambar panorama yang panjang gabungan dari 4 gambar tadi.

Klik pada gambar untuk paparan yg lebih jelas dan mengancam


Bolehlah buat perbandingan gambar sebelum di atas dan yang telah siap. Menarik bukan?
Selamat Mencuba!

-MHSS-
(gambar hiasan)

March 19, 2010

Spring Break '10

Panas. Suka sangat. Lama rasanya tak merasai nikmat panas setelah berbulan dihujani emping-emping salju putih yang kadang tak tertahan kesejukannya. Alhamdulillah, walaupun cuaca kini tak lah sepanas di Malaysia, paling kurang ia tak lah sesejuk awal dan pertengahan winter, yang perlahan-perlahan mengucap selamat tinggal dan memberi laluan kepada musim bunga (bungakah? kering je pokok..hu) untuk menyerlahkan serinya. Itulah kuasa Allah dalam mengatur gerak alam yang begitu sempurna mengikut kehendakNya, Subhanallah.

Segala puji dan syukur yang berhak hanya untuk Nya kerna memberikan peluang bagi diri ini merasai seluruh nikmat kehidupan hingga kini. Walau ada sedikit kepayahan di sana sini, itulah tanda kasih sayang Allah dan juga pengajar terbaik dalam melalui hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. InsyaAllah. Semoga ditetapkan iman dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian-ujian Allah itu.

Sunset sky

Semalam. Hari yang cantik dan damai, cuma sejuk-sejuk manja je dek angin yang bertiup, boleh lagi pakai t-shirt biasa dua lapis, lega rasanya dah tak perlu pakai baju tebal2.
Latar gambar. Lewat petang di Holmes Lake, Lincoln NE. Kunjungan kali kedua setelah aktiviti barbeque Fall yang lepas. Sungguh jauh bezanya. Tasik yang masih lagi separuh beku dan juga pokok-pokok botak yang tak berdaun, hanya ranting dan dahan peneman seri. Namun masih teruja dengan keindahan saujana di sini setelah berdiri di atas bukit. Cantik, tenang, rasa macam nak tidur je kat situ..he.Gambar ini tidak di edit banyak, hanya tambah tulisan dan 'lighting effect'. Hasil karya sahabat, Amel yang menggunakan dslr Canon EOS40D nya. TY -.-


Without You

Ini pula gambar di Des Moines, sewaktu trip ke Iowa, negeri jiran Nebraska. Alhamdulillah juga, dapatlah keluar dari duduk di kawasan U ni saja. Luaslah sikit pemandangan mata. Sepanjang jalan melihat saujana yang luas terbentang.
Gambar ini pun tak diedit banyak, hanya lighting effect dan kombinasi lapisan warna je. 5 minit siap..
Credit to Amel. Dia terjumpa spot ni sewaktu main lari-lari turun naik bukit nih. Orang, kerusi, dan pokok tunggal berlatar langit luas. Cantik.


p/s: Nak lihat lagi sedikit sebanyak gambar-gambar sepanjang jalan di Iowa dan Holmes Lake sewaktu Spring break ni, jangan segan2 tengok album 'Spring Break' di facebook. :)
Ataupun, baca nukilan menarik Kak Nadiah ini.. =) [promo2..he]

MHSS -.-

January 16, 2010

Snippet: According to them and their book

Selasa, Jan.12 - Hari kedua kelas dalam semester kedua ini berlangsung baik, alhamdulillah. Walaupun salji-salji yang masih memenuhi segenap lapisan inci dataran bumi UNL ini, dengan suhu yang masih di bawah paras beku, perlu diharungi jua. Inilah yang pertama pengalaman ke kelas dengan merasai kesejukan salji. Mengigil. Bagi diri ini yang baru hendak membiasakan diri, biasalah 3 lapis baju campur winter jacket siap dengan snowcap, seluar pun mesti kena pakai thermal kat dalam, classmates lain yang American segelintirnya rilek je macam pergi kelas time Fall, gloves pun ada yang tak pakai! Fuhh..tebal kulit mereka agaknye..hee.

Sehinggalah petang sesudah pulang dari kelas dengan menaiki basikal (boleh lagi naik basikal, lalu jalan rata takpe..he. Lebih cepat berbanding nak tunggu bas), sesudah pulang dari UR Grocery (Kedai Runcit Pak Arab) membeli sekampit beras basmathi 15 lb dengan 2 tin sardin Morocco... Ketika sampai di muka pintu apartment 2007 Q, berdirilah seorang pakcik di sebalik pintu itu, datuk mungkin, usia lingkungan separuh abad lebih, berbadan besar serupa macam badan Santa Claus cuma janggut dia tak seputih watak typical Santa tu, berbaju biasa dengan menyarung baju ala-ala pekerja bengkel diluarnya... Pelik. Nampak macam bercakap sendiri, mulut terkumat kamit membaca sesuatu.. Dia menoleh, perasan ku di luar. Baik. Dibukakannya pintu itu untuk diri ini mungkin agak kesian melihatkan ku membawa kampit beras yang disangkut di kepala basikal.. sambil meraba-raba kocek jeans mencari gugusan kunci dengan sarung tangan tak dicabut terlebih dulu memang agak nampak kelam kabut la..hu.

December 29, 2009

End of Fall Season

Bila dah datang mood nak mengedit tuh, memang ada saja gambar2 yg menjadi mangsa untuk diubahsuai. Adobe Photoshop CS3 (PS) akan dihadap tanpa rasa jemu, perut berkeroncong pun tak terasa lagi. Itulah hobi diriku ini semenjak 2tahun yg lalu. Elok jugak. Boleh mengisi masa yang kosong ni, cuti2 tak kemana. Sejuk. Keluar pun beli barang dapur je la. Kalau ikut kan hati tak keluar langsung, sebab malas nak dressing berlapis-lapis. .he. (alasan ^_^)
Setengah tahun kut cuti mengedit, sebab pertamanya MALAS masa duduk rumah sebelum datang sini tempoh hari. Lepas sampai sini pulak, beli laptop baru dan nak install PS ni bukanlah mudah. Haihh..macam2 hal lahh US ni. Semuanya nak yang asli. Akhirnya jumpa jugak PS Lite Edition. Yeay!! Tak payah kena bayar beratus untuk itu shj..huh~

mhss4

Tajuk: Teknik Pembahagi Bayang..hehe

Inilah hasilnya yang pertama setelah sekian lama tangan ni tak mendapat sentuhan PS. Tak hilang lagi rupanya skill mengedit ni, alhamdulillah. Malah bertambah lagi, sebab jenguk2 dekat Youtube, ada banyak tutorial tentang editing menggunakan PS ni. BEST!

Ok. Cerita sikit tentang gambar atas nih. 'Penggambaran' dilakukan pd hari kedua Raya Aidiladha hari tu, di East Campus UNL bertemankan Muz
ammil dengan Camera DSLR nya..syok jugak pakai DSLR tu. Terasa nak beli juge nanti, insyaAllah..he. Tapi lambat lagi kut, bersyukur dengan apa yg ada sekarang, bagus jugak Panasonic DMC-FS4 ni.
Gambar ini tak de lah edit banyak pun. Cuma cutting jek. Back
ground dia memang dah lawa. Ambil lagi 5 gambar dari lokasi dan pose yang berbeza, potong lah diri ini menggunakan "Quick Selection tool" dalam PS. Hahh..sebelum ni tak tahu pun yang tool ni boleh digunakan untuk memotong gambar. Lebih smart. Sebab tahu pakai "Magnetic Lasso" jek. Agak leceh sikit lar, tapi dua2 pun ok.
Lepas tu adjust2 la saiz dan tempat2 yang nak tampal 'bayang2' tuh, supaya nampak realistic sikit.huhu.

hmm..

Sebenarnya banyak tempat bergambar, especially di pokok2
yang kian menggugurkan daunnya. Almaklumlah, dah nama pun masa tu musim Fall. Tapi sangat cantik pokok2 itu walaupun gondol tidak berdaun. Subhanallah. Kalau di Malaysia agaknya dah boleh kena tebang..he.
Hari itu Amel ajak keluar berbasikal sebab tengok cuaca pun cantik, sebelum winter datang, baiklah bergambar-gambar dulu.



Ok cukup. Banyak-banyak bosan pulak. -.-

November 20, 2009

Lincoln: Randomly selected memories


Diam. Sunyi. Sepi. Ini kalau najis cicak jatuh pun boleh dengar macam bunyi kapal terbang terhempas. Tapi nasib baik la tak jumpa lagi spesis cicak kat rumah ni. Ada je TV nak tengok, tapi nafsu menonton tu lari entah ke mana. Macam-macam jenis siaran ada, dari local channel sampai la ke benua Australia sana ada. Betul ke? Main cakap je.hehe. Tapi memang banyak, belum sempat nak menghafal satu persatu. Takut. Dah hafal nanti asyik saja duduk depan TV dengan kerja lain menimbun suci tak ternoda. Parah.
Mug berisi hot chocolate dibiar sejuk menanti disua ke mulut. Buku Statistic yang dipinjam dari Love Memorial Library pun dari tadi hanya menanti penuh harap untuk dibelek. Kesian. Tak apa lah, hari sabtu macam ni cadang memang nak rileks sikit. Harap-harap encik buku tu faham, tak merajuk. Ini kalau ada orang ajak keluar jalan kan ke baik, takdelah duduk sorang2 macam ni. Kesian betul la diri nih.

Tirai langsir sliding door diselak hingga ke hujung, ruang rumah bawah yang tadi nya gelap kini terang dek nikmat cahaya matahari kurniaan Allah menyimbah masuk. Siang yang sangat damai di Lincoln, pagi sabtu ni. Tunggu lah malam nanti, 2 3 jam sebelum 'kick off' sampai la habis match memang Lincoln lah satu-satunya tempat di Nebraska ni yang paling ramai orang kunjungi dan havoc giler. Go Big Red!! Go Big Red!! Akan sayup-sayup kedengaran di ruang atmosfera City Campus UNL ni. Dan semestinya semua nampak merah. American Football. Sukan yang sangat sangat digilai Americans. Hampir ter influence jugak lah semenjak duduk sini. Memang takkan terlepas setiap minggu menghadap TV tengok benda alah tu. Dari tak faham apa-apa, sampai dah boleh jadi coach agak nye nih..he. Tapi seriously memanglah tersangat banyak rules dalam sport ni. Complicated untuk difahami satu persatu. Tapi yang penting, TOUCHDOWN!! Hehe.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails