June 1, 2012

Pusara


Tahukah anda?
Doa yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW apabila kita melintasi/menziarahi perkuburan orang Islam adalah bukan dengan hanya menyebut, "Assalamualaikum ya Ahlilkubur", yang mana entah datang dari mana ajaran ini, bak kata Ustaz Zahazan Mohamad dalam kuliahnya. =)

Tetapi yang diajar Rasulallah kepada kita adalah dengan menyebut,
"Assalamualaikum ya diara qaumil mukminin wa inna insyaAllahabikum la yakun nas'alullahalana walanas'alullahalana walakumul a'fiyah"
Ringkasan Maksudnya: Assalamualaikum wahai ahli-ahli perumahan kaum mukminin, kamu telahpun mendahului kami, nanti kami pula yang akan turut serta kemudian.

Lihatlah, betapa indahnya ajaran Rasulallah, bukan sekadar kita mendoakan kesejahteraan mereka yang telah tiada, malah kita memuliakan mereka kerana terlebih dahulu telah pergi bertemu Allah Rabbul Izzati. Juga, memperingat diri kita yang masih hidup bahwa kita juga akan pergi mengikuti mereka ke alam barzakh, yang Allah sahaja ketahui bila, di mana, dan bagaimana ia akan berlaku. Zikrul maut. Subhanallah.

Berbanding dengan kebiasaanya, kita sekadar mengucapkan salam kepada ahli kubur dan kemudian berlalu pergi tanpa terkesan barang sedikit pun rasa ingat akan kematian. Maka, bersamalah kita mengamalkan ajaran Rasulallah yang sebaik2 ajaran ini insyaAllah.
Moga ada rahmat dari Nya, biiznillah :)


Sebenarnya, sedang saya belek2 koleksi gambar di laptop ni tadi, terdetik di hati untuk melihat gambar2 sebelum saya berangkat ke USA pada 2009.. tertenung saya seketika pada satu gambar..


Ya, tak sabar rasa saya ingin menziarah pusara ini, di Kampung Parit Nombor 3, Muar Johor. apalah keadaanya sekarang? bersih dan kemas kah.. InsyaAllah, tempat terawal yang saya akan lawati ialah di sini. Sebagaimana dahulu tempat terakhir saya ziarahi sebelum berangkat.
Rindunyaaa ya Allahh.. sampaikan lah daku ke pusara ini dengan selamat. Amin~

Jika arwah masih ada, pasti dia berbangga dengan ke-empat2 anak bujangnya.. Abang saya dan saya masing2 telah berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda pada tahun ini. Dua orang adik saya yang lain masing2 boleh dikatakan cemerlang dalam belajar. Seorang baru lepas PMR dan berjaya mendapat 9A. Tinggal Haziq ini yang masih kecil, sangat berdikari dan cerdas akalnya. Sesekali nanti ingin saya bercerita tentang adik kecil saya yang sorang ini =)
Namun, kami tetap bersyukur.. Allah lebih menyayanginya.


Gambar: Bonda dan adik bongsu saya, Haziq, di pusara Ayahanda, Hj. Suparlan, pada August 2009. Alfatihah ke atas rohnya. Moga ia terus aman di sana dan ditempatkan dalam golongan orang2 beriman insyaAllah.


-MHSS-

May 25, 2012

Bulan terakhir


Terbengkalai, tersadai, tak dihirau... begitulah nasib blog ini...
Adanya bagai tiada, sekadar melepas rasa kala sepi,
Bukan tiada cerita untuk dikongsi,
Bukan tiada masa untuk diisi,
Tetapi terlalu banyak cerita dan masa yang tak mampu diterangi,
Peristiwa dan pengalaman yang tak mampu ditulisi, 
Bulan lima dua ribu dua belas yang tak mampu dilupai,
Setiap saat dan detik tika ini amatlah dihargai,
Hanya Allah yang Maha Mengetahui,
Betapa bersyukurnya diri ini,
Dengan nikmat kurniaanMu Ya Ilahi...
Alhamdulillah.

Graduation/Commencement/Convocation. 5 May 2012
University of Nebraska - Lincoln

Jutaan terima kasih kepada rakan2 yang telah saya anggap keluarga di sini. Terutama sekali kepada Abang Hafiz dan Kak Izza yang sudi hadir mewakili keluarga di Malaysia, dan menyediakan santapan tengahari untuk saya dan yang lain. InsyaAllah, jasa dan memori bersama kalian semua tak akan dilupakan :)

Kemudian, dua hari berikutnya...

Antara 2 tempat yang saya lawati dalam kembara USA buat yang terakhir kali,  New York City dan Chicago. Bezanya kali ini saya bergerak sendirian, kembara solo..hehe. Alhamdulillah, semuanya selamat. Tempat-tempat lain yang saya jejaki adalah Boston, New Jersey, dan Philadelphia.



Atas: Chicago dan Bawah: New York City

Walaupun baru pertama kali ini saya jejaki NYC, tetapi bagai sudah biasa dengan kota yang penuh sesak ini, barangkali kerana sudah banyak tempat di US saya lawati, sedikit sebanyak perasaan gementar dan kekok berada di tempat asing telah saya kikis dan buang jauh-jauh. 

Di Philadelphia, saya sempat meraikan majlis graduasi 9 rakan sekolej saya dahulu. Melihat ikatan ukhwah dan kemesraan antara mereka semua di University itu, saya sedikit terharu dan semestinya gembira dengan kegembiraan mereka. Alhamdulillah, kami semua sudah berjaya menamatkan pengajian di US ini dan pulang dengan sekeping Ijazah. Teringat lagi memori bersama rakan2 di INTI college 3 4 tahun lalu, sungguh pantas  masa berlalu. =)

Di Boston, saya keseorangan tiada berteman. Dengan berpandukan sedikit tunjuk ajar seorang sahabat, saya nekad meneruskan penerokaan. Harvard University dan MIT yang gah dengan kehebatannya telah berjaya saya jejaki. Walaupun cuma sehari dan cuma sebentar berada di dua buah university terkemuka dunia ini dan juga berkeliaran di bandar yang tak kurang hebatnya ini, ia sudah memadai. Sebuah Masjid di Boston yang saya singgahi sangatlah indah dan menepati ciri2 sebuah pusat Islam di bandar itu. Saya juga sempat mengikuti pengisian ilmu oleh Imam Suhaib Webb dan berborak dengannya. Isterinya warga Malaysia, dan dia boleh dikira fasih berbahasa melayu, selang 6 bulan pasti ia kembali ke Malaysia sambil mengadakan program2 agama dan ceramah di TV dan radio.

Chicago bandar terakhir saya lawati sebelum pulang ke Lincoln. Entah sudah berapa kali saya ke Chicago, mungkin lebih dari 5 kali, tetapi masih saya rasakan yang Chicago adalah bandar yang paling saya minati kerana bandarnya yang bersih, tidak sesak sesesak NY, susun atur bangunan2 pencakar langitnya yang rapi, dan adanya Tasik Michigan menambah seri indahnya Chicago. hehe.

Walau serata alam pun saya pergi, tetapi..ya..tetapi.. dan sejujurnya... Malaysia, Batu Pahat dan Kuala Lumpur lah yang amat saya rindui ketika ini dan untuk selamanya.. InsyaAllah, 10 hari lagi saya akan kembali ke tanah tempat lahir diri...berjumpa ibu dan keluarga yang sudah 3 tahun tidak ketemu.. =)


-MHSS-


April 17, 2012

Hikayat


Hatta tersebutlah kisah seorang pemuda merantau menuntut ilmu di negara orang, berbekalkan doa dan harapan keluarga, serta berkat rezeki yang Maha Pemurah, tibalah ia menjadi orang asing di sini. Arakian berlakulah suatu perubahan terhadap dirinya, yang telah mematangkan dan mendewasakan ia.

Syafiq merupakan seorang pelajar di University of Nebraska-Lincoln (UNL). Berambut panjang, jarang sekali berambut pendek seperti sewaktu di Malaysia. Di tanah air ramai mengenalinya dengan nama Hafiz atau Apis. Wataknya sedikit berbeza berbanding dahulu, lebih2 lagi ketika berada di INTI College Nilai, kini ia lebih gemar berseloroh dengan rakan2, dan kerap melakukan aktiviti sukan. Kerna kini ia adalah Syafiq. Biarlah Syafiq terus menjadi Syafiq.. selagi ia masih di sini.

Tika satu masa nanti, datang orang menyapanya dengan panggilan Syafiq, maka ketahuilah ia yang mereka berkenalan dan bersahabat sewaktu pembelajarannya di UNL, USA. Syafiq sudah tidak lama di sini, ia akan pergi dalam masa yang tidak sampai dua bulan lagi.
Namun usah risau, kerna Hafiz dan Syafiq tetap individu yang sama, sampai bila-bila, walau penampilannya berbeza =)

Noktah.


Penghikayat,
MHSS

March 3, 2012

Rindu bunga


Titis embun gugurnya damai,
Di celahan rimbun daunan;
Ingin ku tatap desa yang permai,
Setelah sekian di kejauhan.

Tika langit mulai menguning, usah berharap ianya putih kembali.
Hingga ke lain hari.
Tika hujan mulai turun, usah berharap salji kembali.
Hingga ke lain musim.
Begitu aturan alam...

Selamat jalan Winter terakhir,
Selamat kembali Spring terindah.

Rindu bau kuntuman bunga,
Rindu lagi bunga di hati. =)






-MHSS-

January 25, 2012

Sembang-sembang

UNL Winter

"Dah tengok episod baru? Dia dah update", tegur seorang sahabat.

"Belum lagi. Malam nanti lah.. Esok aku takde kelas, boleh lah layan dua tiga drama..hehe", jawabku sambil tersengih dengan mata yang tak beralih dari skrin komputer di depan, telinga tersumbat earphone mendengar dendangan lagu 'Ramalanku Benar Belaka' nyanyian kumpulan Umbrella yang beralun perlahan, tangan menggenggam sebatang pensil tekan, lembaran kertas assignment subjek Finance, 'Options, Futures & Derivatives' terhidang di atas meja sedia minta dipersiap. Fuhh..Multitasking?

Duduk di bilik komputer yang satu ni, di bangunan Jackie Gaughan Multicultural Centre, bilamana petang memang seronok. Sunyi. Nyaman. Tak ramai orang. Dekat dengan restroom dan vending machine. Nak solat pun mudah, ada satu sudut yang jarang dilalui orang, di situlah 'port' kami untuk mengerjakan solat, sujud pada-Nya walau di mana jua berada, apa keadaan sekalipun. Tiada surau dan kemudahan tempat solat bukanlah alasan, lebih2 lagi apabila berada di rantau orang. (Berkaitan juga dengan entri yang lepas =)

Maka, sia-sia dan amat rugilah jika di tempat kita berada itu terdapat surau yang indah, juga masjid yang gah, tetapi hendak melangkah menunaikan solat di situ pun payah..hmm. (Oh.. terlebih pulakk. Sekadar selingan peringatan buat diri dan rakan2 -.- )

Sejujurnya, duduk di sini hampir dua tahun setengah, jauh dari tanah air, terkadang rindu dengan suasana yang telah sebati dalam jiwa raga. Bab hiburan dan pengisian masa lapang contohnya. Mujurlah dengan kemudahan internet masakini, kami tidak ketinggalan menonton hampir setiap cerita2, drama2, filem2, dan rancangan TV yang disiarkan di Malaysia dengan bantuan laman web percuma ini sbg salah satunya. Bahkan video2 ilmiah juga dapat dirasai kemanisan ilmunya di Youtube dan di laman2 web lain, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Elias misalannya. Tetapi yang penting sekali, informasi terkini mengenai apa yang berlaku di tanah air, waimma politik, ekonomi, dan sosial juga dapat kami pantau dan tapis dari kejauhan. Melihat negara sendiri dari kanta kaca mata orang asing memang sedikit berbeza. Terasa diri bagai orang tengah tanpa memihak sesiapa, tapi mahu atau tidak, sekembalinya nanti mestilah memangkah salah satunya, tanggungjawab sbg warga Malaysia perlu dilaksana.
Walau apa pun, Malaysia tetap di hati. Keharmonian bangsa dan negara itulah yang di impi. Agar bersama nanti kecapi mimpi. *

"AJL nanti minggu ni... Kau tau tak?", tanya sahabat tadi lagi setelah ia meng'google' kata kunci AJL 2012 di komputer yang didudukinya.

"Hahh...yeke. Biasa hari ahad lah kan. Tunggu je lah nanti keluar kat internet," balasku selamba. "Agak-agak lagu mana juara?", tanyaku spontan.

"Kau rasa?"

Eh..eh.. aku tanya, dia tanya aku balik pulak.

"Lagu 'Beribu Sesalan'. Confirm! Mantap kut suara diorang...", ujarku dengan serius dan konfiden sekali.

Senyap.

"Aku rasa 'Awan Nano', vokal okay, lagu awesome, lirik pun superb...", jelasnya sambil menunjukkan ibu jari tanda bagus.

"Oh, boleh jugak tuh. Aku ingat kau pilih tu sebab penyanyi dia nama Hafiz, orang nama Hafiz memang selalunya boleh juara..haha", aku berseloroh sengaja mahu mengusik.

"Kenapa dengan Hafiz? Aku panggil kau Syafiq, bukan Hafiz...hahaa." Ketawa.

Cehh..kena balik aku. -.-


Sekali sekala menyakat teman apa lah salahnya. Walau pun berdiskusi yang bukan ilmiah, tetapi ia lebih baik untuk mengeratkan silaturrahim daripada bersembang mengenai hal politik yang tiada berasas dan tiada menahu kebenarannya, yang akhirnya boleh mencetus pergaduhan berpunca dari ketidaksepakatan dalam sesuatu usul politik yang dibahaskan.

Jika perbualan di atas ditukar daripada meramal juara AJL-26 kepada meramal parti apakah yang akan menang pada pilihanraya yang akan datang, atau siapakah yang lebih layak memegang gelaran No.1 dalam Pakatan Rakyat... Maka, tiadalah berakhirnya perbualan itu dengan ketawa jika keduanya berlainan fahaman.
Jika ramalan juara AJL itu benar belaka sekalipun (eh, macam tajuk lagu tadi pulak), nescaya tidak bergaduh besarlah dua sahabat ini, tetapi jika ramalan yang lagi satu tentang politik itu, salah seorangnya benar... Maka, bertengkar lagilah mereka hingga tiada noktahnya.

Diskusi politik itu perlu dan wajar tetapi harus pada tempat dan di medium yang betul bermandatorikan ilmu serta dalil2 yang lengkap dan benar sebagai hujah. InsyaAllah, segala yang sulit dapat diselesaikan dan yang batil dapat diketahui dengan izin-Nya.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui dalam setiap sesuatu. Allahu'alam.

*Ulang chorus*
Malaysia tetap di hati. Keharmonian bangsa dan negara itulah yang di impi. Agar bersama nanti kecapi mimpi.


Nota kaki: Meh layan lagu 'Ramalanku benar belaka' nih..hehe


Sekadar coretan,
-MHSS-
Lincoln, Nebraska USA
January 24, 2012 10:30 p.m. CDT

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails