January 28, 2010

Nasi Lemak, Kuih - Kasih Ibu Sampai Syurga 2

Kisah sebelum: Vespa Kenangan.


Haruman embun pagi tidak pernah terhidu sekuat ini. Segar. Kesamaran kabus melitupi saujana mata memandang, tak terlihat lagi pencawang elektrik yang berdiri di hujung petak sawah sebelah timur kampung. Walau dalam kegelapan, selalunya itulah objek yang pertama sekali mata Amin tatap bila melangkah keluar dari mahligainya seawal jam 6 setengah pagi dengan lengkap berpakaian sekolah. Melihatkan dedaun yang basah kuyup bagai dimandikan, Amin menduga, "Barangkali hujan lebat malam tadi ni, patutlah rasa sejuk lain macam."

"Amin.. Apa yang dimenungkan lagi tu? Lekas bawa bakul ni ke warong Mak Eton, nanti dia tak sempat pulak nak siap menghidang. InsyaAllah murah rezeki keluar waktu macam ni, semua orang memang tengah cari sarapan. Baik-baik jalan ye nak." Pesan Mak Jah kepada Amin bila melihat Amin duduk diam merenung hamparan langit dan sawah terbentang dihadapannya.

"Baik bu." Jawab Amin ringkas, dia mencapai tangan bondanya untuk bersalam lalu mencium kedua belah pipi wanita itu, satu-satunya wanita yang amat Amin kasihi.

"Amin pergi dulu. Ibu jangan risau, tahulah Amin jaga diri. Amin kan dah besar..he." Senyum si ibu melebar menampakkan baris giginya tersusun. Sangat cantik di mata Amin. Senyuman itulah yang menjadi pendorong dalam kehidupan Amin, jikalau boleh tak mahu dia berhenti menatap senyuman di wajah wanita itu, ibunya tersayang. "Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Mak Jah menjawab. Sejuk hatinya melihat Amin, sesejuk dan sedamai angin pagi yang bertiup lembut menyapa seluruh jasad. Jauh di sudut hatinya, dia mendoakan agar dia dan Amin diberi kekuatan bagi menempuh kehidupan hari-hari esok, mengharapkan ia akan terus kekal seindah tika ini walaupun ada secebis kekurangannya antara dia dan Amin.

Begitulah rutin harian Amin dan Mak Jah awal-awal pagi. Si ibu selepas solat subuh lagi sudah siap menyediakan tempahan nasi lemak juga kuih-muih air tangannya untuk dibawa Amin berjalan kaki melangkah ke warong Mak Eton. Setelah itu, sekolah destinasi Amin. Berlainan dengan rakan-rakan kelasnya lain yang masih lagi bersenang lenang di rumah, antaranya menunggu bas sekolah, menunggu untuk dihantar oleh bapa mereka, ataupun ada yang mengerah kudrat mengayuh basikal. Fenomena yang sudah sinonim dalam Kampung Seri Menanti, cuma ada satu sekolah menengah yang ditempatkan dalam kampung itu. Walaubagaimanapun, Amin tetap bersyukur kerana punya peluang untuk menuntut ilmu, peluang yang tidak akan dia sia-siakan. Hari-harinya dilalui tanpa keluh resah kerana dia yakin pasti ada hikmah di hujung titian perjalanan hidupnya ini.

Tetapi, ada satu perkara yang Amin rahsiakan daripada pengetahuan Mak Jah.

January 21, 2010

Hawa

Di kala sang bulan gah memerhati alam, ditemani si bintang-bintang mempersona gelitanya malam, menghiasi langit cakerawala yang kian suram, dalam kesamaran itu tampak syahdunya wajah insan menginsafi akan khilafnya yang silam, jemarinya rancak meratib butiran tasbih sedang alunan irama cinta berkumandang dibibir memuji-muji kebesaran Tuhannya... Tuhan sekalian alam.

Di sebalik tirai kamar hatinya, dia berbisik dan merintih ke hadrat Tuhan yang Maha Esa, "Adakah ini balasan MU kepadaku? Apakah ini yang selayaknya aku terima Ya Allah? Jika inilah dugaan MU bagi mematangkan diri ini, aku redha Ya Rabbi. Jika dengan dugaan ini membuatkanku tersedar, terima kasih Ya Tuhanku. Sesungguhnya hambaMu amat lemah dalam meniti gelora kehidupan yang penuh pancaroba, dalam melayari bahtera hidup yang Engkau amanahkan, dalam mendaki gunung kasihMu nan sayup tinggi. Bantulah diri ini dalam mencari sinar yang didambakan setiap insan, sinar kebenaran yang membawa ku terus menuju ke jalan Mu, Ya Rabbul 'Izzati."

January 16, 2010

Snippet: According to them and their book

Selasa, Jan.12 - Hari kedua kelas dalam semester kedua ini berlangsung baik, alhamdulillah. Walaupun salji-salji yang masih memenuhi segenap lapisan inci dataran bumi UNL ini, dengan suhu yang masih di bawah paras beku, perlu diharungi jua. Inilah yang pertama pengalaman ke kelas dengan merasai kesejukan salji. Mengigil. Bagi diri ini yang baru hendak membiasakan diri, biasalah 3 lapis baju campur winter jacket siap dengan snowcap, seluar pun mesti kena pakai thermal kat dalam, classmates lain yang American segelintirnya rilek je macam pergi kelas time Fall, gloves pun ada yang tak pakai! Fuhh..tebal kulit mereka agaknye..hee.

Sehinggalah petang sesudah pulang dari kelas dengan menaiki basikal (boleh lagi naik basikal, lalu jalan rata takpe..he. Lebih cepat berbanding nak tunggu bas), sesudah pulang dari UR Grocery (Kedai Runcit Pak Arab) membeli sekampit beras basmathi 15 lb dengan 2 tin sardin Morocco... Ketika sampai di muka pintu apartment 2007 Q, berdirilah seorang pakcik di sebalik pintu itu, datuk mungkin, usia lingkungan separuh abad lebih, berbadan besar serupa macam badan Santa Claus cuma janggut dia tak seputih watak typical Santa tu, berbaju biasa dengan menyarung baju ala-ala pekerja bengkel diluarnya... Pelik. Nampak macam bercakap sendiri, mulut terkumat kamit membaca sesuatu.. Dia menoleh, perasan ku di luar. Baik. Dibukakannya pintu itu untuk diri ini mungkin agak kesian melihatkan ku membawa kampit beras yang disangkut di kepala basikal.. sambil meraba-raba kocek jeans mencari gugusan kunci dengan sarung tangan tak dicabut terlebih dulu memang agak nampak kelam kabut la..hu.

January 10, 2010

Vespa Kenangan - Kasih Ibu Sampai Syurga 1

Selami kisahnya...

Vespa Kenangan - Kasih ibu sampai Syurga

"Ibu, Amin dah beli tepung dan gula yang ibu suruh Amin beli balik dari sekolah tadi. Ada Amin letakkan di dapur." Lembut Amin menuturkan bicara kepada Ibunya tersayang. Lalu seperti biasa dia melangkah menuju ke pinggir tangga, duduk di situ memikirkan...

"Ya nak... Terima kasih. Biarkanlah dulu. Ibu tengah siapkan jahitan yang Cik Kiah kirim ni." Sambil tangan dan kakinya sibuk bekerja di mesin jahit singer itu, Mak Jah menjawab.

Amin. Seorang anak yang taat. Kasihnya kepada ibu tidak pernah kurang walau senipis helaian rambut. Selepas pemergian ayahnya dua tahun lalu, Pak Latiff, ibunya sahajalah tempat Amin bergantung, tempat Amin bermanja, tempat Amin bergurau senda. Tiada kawan dan adik beradik lain seperti orang lain yang boleh Amin ajak main bilamana petang-petang di kawasan rumah kampung dekat dengan bendang itu. Kalau dulu, waktu arwah ayahnya masih ada, Amin sangat rapat dengannya. Bersiar-siar keliling kampung dengan dibonceng Pak Latiff, motor Vespa hijau tinggalan atuk itu sungguh comel sekali masa itu. Sekarang sudah usang jadinya, tak ada siapa yang nak jaga. Ramai juga orang kampung yang lalu lalang bertanya mengenai Vespa itu. Ada yang sanggup beli sampai harga beribu ringgit. Yalah, semua tahu enjin motor itu kuat dan tahan lama, boleh dijadikan enjin pada gerabak angkut sawit, tanah, pendek kata memang bagus. Ada juga yang mahu menjadikan koleksi barang antik, dan ada yang saja-saja ingin masuk kelab Vespa di pekan sana. Tapi, setiap kali ada orang yang datang melamar Vespa itu, Aminlah yang menjadi penentang nombor satu. Macam-macam alasan dan hujah diberi Amin kepada ibunya supaya tidak menjual motor itu. Akhirnya, sampai sekarang duduk saja Vespa itu di tempatnya, tempat kali terakhir ia diletakkan oleh orang kampung selepas dihantar pulang. Amin rasakan kenangannya pada Vespa itu sangat bernilai, walaupun sudah nampak agak usang kini, Amin tetap sayang, Amin sapu badannya tiap-tiap petang sewaktu pulang dari sekolah bila hendak naik tangga rumah. Cuma dia tak tahu membawanya saja.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails