Malaysia. December 31, 2009, 4.00am - 6.00am
Gembira tidak terucap diri ini kerana dapat bersembang panjang dengan seseorang yang pernah hadir dalam hidupku sewaktu ketika dahulu. Ketika diri baru mengenal erti kedewasaan. Ketika semangat muda remaja mula membakar dan bercambah antara kaca dan permata. Ketika diri baru saja kehilangan seorang yang bergelar bapa. Hadir insan ini yang begitu baik mengambil berat diriku. Tak kan ku lupa jasamu guru hingga ke hujung hayat. InsyaAllah.
Mengimbas memori lampau...
Asrama Putera SBPISB ini tidak pernah sunyi tanpa suaranya baik di pagi hari mengejutkan anak-anak bangun untuk ke surau bersolat subuh berjemaah ataupun di malam hari menyuruh untuk tidur pula. Kadangkala ditangannya ada sebatang rotan ataupun hanger untuk 'menghalau' syaitan2 yang berpelukan bersama anak-anak ini ketika lena diulik mimpi indah. Begitulah rutin harian insan ini yang bergelar warden. Nampak mudah namun sebenarnya tidak. Perlu berhadapan dengan bermacam-macam karenah anak muda remaja yang kononnya sudah kenal erti hidup dan kata nasihat orang dewasa dipandang enteng. Yang kononnya inginkan kebebasan hidup tanpa kongkongan dan peraturan yang dianggap menyusahkan.
Sedarlah rakan, dengan kongkongan dan peraturan dulu itulah yang menjadikan kita manusia tika ini. Mengajar kita jika tidak banyak, sedikit tentang hidup di dunia luar yang sebenar dan penuh mencabar ini.